Pengarah filem, Liew Seng Tat berkata premis utama dalam filem 'Lelaki Harapan Dunia' adalah semangat bergotong-royong yang digambarkannya melalui babak mengangkat rumah.

Liew, 35 yang dibesarkan di Jinjang, Selangor berkata beliau didedahkan dengan nilai seperti itu sejak kecil lagi.

Beliau juga cuba menerapkan bidalan “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” dalam filemnya itu, yang menimbulkan kontroversi kerana dianggap sesetengah pihak sebagai satu sindiran kepada orang Melayu.

“Tradisi (gotong-royong) mengangkat rumah ini tidak aneh bagi saya sebab sejak kecil dah tahu. Ianya sesuatu yang sangat menarik dan bernilai yang sekarang ini orang muda semakin lupa.

“Saya memfokuskan tradisi yang kita ada terutamanya nilai bergotong-royong. Kalau kita bercakap soal masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa, semangat bersatu padu ini sangat penting,” ujarnya dalam wawancara bersama Malaysiakini .

Liew yang menyifatkannya sebagai mesej yang cukup mendalam dalam filem 'Lelaki Harapan Dunia'.

“Selama empat tahun membuat kajian yang mendalam mengenai konsep peribahasa ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’ menerusi aktiviti bergotong royong, saya mendapati ianya sesuatu yang sangat berharga,” katanya.

Tambahnya lagi, nilai berkenaan perlu sentiasa diterap di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Pupuk kerjasama

“(Teladan yang digambarkan) melalui pepatah ini, kita boleh sama-sama bekerjasama, dan boleh sama-sama berjaya,” ujarnya bersemangat.

Katanya lagi, beliau benyak mengamati budaya masyarakat Melayu sejak kecil lagi melalui pergaulannya dengan rakan-rakan.

“Saya (bersekolah di) Sekolah Kebangsaan Jinjang dahulu, oleh itu saya bercampur dengan kawan berbangsa Melayu dan India sejak kecil lagi.

“Ketika belajar di situ, ada kuarters polis dan bomba jadi anak mereka sama-sama belajar di sekolah yang sama," katanya lagi.

Tambahnya, filem ini hanya tertumpu kepada bangsa Melayu sahaja kerana memfokuskan kepada budaya mengangkat rumah yang merupakan budaya Melayu.

“Saya tidak ada pilihan, kerana ini bukan tradisi Cina atau India. Jika ini filem Cina maka ianya akan menjadi filem tradisi Cina.

“Walaubagaimanapun, saya bukan fokus hanya pada bangsa tapi mesej yang ingin disampaikan,” katanya,

Filem berkenaan telahpun ditayangkan September lalu di Festival Filem Antarabangsa Toronto dan turut dipertandingkan dalam kategori Sinema Kontemporari Dunia.

Cerita berkaitan:

Pengarah: Lelaki Harapan Dunia tak sindir Melayu, Islam

Lelaki Harapan Dunia jauh dari hati