Kawalan keselamatan di lapangan terbang utama di Sarawak akan diperketat bagi mengelak daripada dijadikan transit untuk menyeludup dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhamad Sabtu Osman berkata arahan sudah dikeluarkan berikutan penahanan seorang suspek yang disyaki menyeludup 115.5 kg syabu bernilai RM21 juta di Lapangan Terbang Miri pagi semalam.

"Arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Jabatan Narkotik Sarawak, Supt Lukas Akit untuk menambah anggota dan memperketat kawalan di lapangan terbang di Sarawak untuk membanteras aktiviti seludup dadah," katanya dalam sidang media di Miri hari ini.

Beliau berkata rampasan dadah di Lapangan Terbang Miri adalah yang terbesar setakat ini tahun ini selepas dua rampasan sama dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum ini tahun ini.

Beliau berkata suspek yang juga pekerja di pelantar minyak didapati positif ketamin kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muhamad Sabtu berkata polis kini sedang menyiasat kemungkinan suspek  mempunyai rakan subahat yang membantu dalam usaha menyeludup.

"Rakaman kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Miri sedang diteliti untuk mengesan rakan suspek yang mungkin bekerjasama," katanya.

Beliau berkata enam beg syabu yang dirampas itu kemungkinan untuk dijual di pasaran di Kuala Lumpur.

Suspek ditahan ketika sedang melakukan pemeriksaan di kaunter daftar masuk untuk penerbangan ke Kuala Lumpur.

Suspek juga didakwa menawarkan RM1.2 juta kepada polis yang bertugas untuk membebaskannya.

- Bernama