Berita Malaysiakini

Shamsuddin letak jawatan ketua pembangkang

Adrian Wong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas beberapa kali menolak jawatan pengerusi PAC, Datuk Mohd Shamsudin Lias mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor .
 
Beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Speaker, Hannah Yeoh selepas memulangkan Toyota Camry kepada kerajaan negeri pagi ini di Bangunan kerajaan negeri di shah Alam.
 
Bercakap kepada pemberita, ADUN BN Sungai Burong itu berkata beliau membuat keputusan itu berdasarkan prinsip "integriti" 

Dalam surat peletakan jawatan, Lias berkata keputusannya itu sebagai menghormati undang-undang negeri yang mewajibkan ketua pembangkang memegang jawatan pengerusi PAC.
 
Lias berulang kali menolak untuk mengetuai PAC negeri, tawaran yang dibuat kepadanya pada November lalu sebelum ia akhirnya dijadikan undang-undang di Dewan Undangan Negeri.
 
Yeoh dilaporkan minggu lepas sebagai memberitahu Lias bahawa beliau harus meletak jawatan ketua pembangkang jika enggan mematuhinya.
 
Lias, sementara itu, dilaporkan mengadu bahawa adalah tidak adil BN tidak mempunyai anggota majoriti dalam jawatankuasa berkenaan, dengan hanya dua wakil.
 
Katanya, mengikut Peraturan tetap 68 (1) Dewan Undangan Negeri Selangor, yang dipinda pada 4 Disember 2014, pemimpin pembangkang diwajibkan memegang jawatan pengerusi PAC.
 
Sebagai menghormati dan mengikut keputusan itu, kata Mohd Shamsuddin dalam suratnya, beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan ketua pembangkang Selangor, berkuatkuasa serta merta.
 
Sementara itu Bernama melaporkan Mohd Shamsuddin  mendakwa tindakan itu berikutan sikap berat sebelah pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan komposisi anggota jawatankuasa PAC dimonopoli ADUN Pakatan Rakyat dan ia dilihat lebih berunsur muslihat politik.
 
"Saya meletakkan jawatan ketua pembangkang DUN Selangor serta merta atas pilihan saya sendiri dan atas prinsip integriti. Apa guna saya memegang jawatan itu (Pengerusi PAC) jika hanya sebagai boneka dan ikut telunjuk.
 
"Jika kerajaan negeri benar-benar ikhlas atas prinsip demokrasi, mereka seharusnya ada 'check and balance' dan bukan hanya meletakkan satu ADUN BN berbanding empat ADUN Pakatan dalam jawatankuasa tersebut," katanya kepada pemberita.
 
Mohd Shamsuddin berkata kelulusan pindaan peraturan tetap 68(1) DUN Selangor yang mewajibkan ketua pembangkang menjadi Pengerusi PAC menyebabkan beliau terikat dengan peraturan itu dan tiada pilihan selain melepaskan jawatan berkenaan.
 
Sehubungan itu katanya segala kemudahan pentadbiran yang diberikan termasuk sebuah kereta rasmi bagi kegunaannya sebagai ketua pembangkang telah dipulangkan semula kepada kerajaan negeri pagi ini.
 
Menurut beliau, surat peletakan jawatannya juga telah diserahkan kepada Pejabat Speaker DUN pagi ini dan diterima Setiausaha Bahagian (Dewan), Pejabat Dewan Negeri Selangor Elya Marini Darmin bagi pihak speaker.
 
Katanya keputusan peletakan jawatan tersebut telah dimaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor Datuk Seri Noh Omar dan senarai calon baru ketua pembangkang DUN itu belum dibincangkan buat masa ini.
 
Dalam pada itu, Mohd Shamsuddin turut mencabar Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali untuk menamatkan khidmat Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri  Anwar Ibrahim setelah gelaran 'Datuk Seri' yang dikurniakan Sultan Selangor pada tahun 1992 ditarik balik.
 
"Jika menteri besar (Azmin) hormat dan faham keputusan Sultan Selangor itu, beliau sepatutnya menamatkan khidmat Anwar yang sering mempersoal integriti  institusi diraja selain mencetus kemelut politik berpanjangan di negeri ini sehingga fokus isu semasa rakyat terabai," katanya.