Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini menasihati Tengku Razaleigh Hamzah supaya menerima pencalonan bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu September ini.

"Saya fikir Tengku Razaleigh sebagai orang lama di dalam Umno dan pernah beroperasi di luar Umno adalah lebih baik menumpukan sumbangannya untuk memperkukuh parti kerana tidak semestinya memenangi jawatan tertinggi sahaja dapat memberikan perkhidmatan kita," kata beliau yang juga Menteri Luar.

"Kalau dia (Tengku Razaleigh) hendak, terimalah jawatan naib presiden tetapi yang penting dalam menjaga keamanan dan kestabilan parti, jawatan presiden dan timbalan presiden yang kini dipangku oleh Pak Lah dan Najib, tidak payahlah..., yang lain sesiapa sahaja hendak bertanding ia terbuka, selagi kita meneruskan semangat persaudaraan ," katanya.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, Syed Hamid berkata bagaimanapun terpulang kepada Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, untuk menerima pencalonan.

Menurut laporan Bernama , semalam, Ketua Umno Bahagian Besut, juga Menteri Besar Terengganu Datuk Idris Jusoh berkata Umno bahagaiannya sedia mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai naib presiden sekiranya bekas Presiden parti Semangat 46 itu mahu.

Mengenai tawaran Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, bekas Ketua Wanita Umno untuk merebut semula jawatan itu, Syed Hamid berkata "Saya ini orang yang percaya pada demokrasi".

Perpecahan

"Kalau boleh dielak pertandingan, kita elakkanlah tetapi kita tahu pada hakikatnya kadangkala pertandingan berlaku dan yang pentingnya ialah semangat pertandingan jangan bawa porak poranda dan pepecahan.

"Kita kena menilai baik atau tidak baik untuk bertanding ini, bukan saja kita kena fikir hendak masuk (tawar diri), kita masuk saja kerana kita marah atau hendak balas dendam.

"Saya fikir kalau ada yang mempunyai asas sebegitu, ia boleh merosakkan Umno dalam jangka panjang, sebab itu, kalau kita hendak menawarkan diri, kita kenalah fikir baik-baik serta bertawaduk sama ada ia boleh menyumbangkan kepada kekuatan atau boleh membawa kepada perpecahan dalam parti," katanya

Syed Hamid yang turut berhasrat bertanding untuk jawatan naib presiden, berkata yang pentingnya selepas pertandingan, mereka yang dipilih itu perlu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk pembangunan negara dan bangsa.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata kesemua 15 bahagian Umno di Kedah tidak akan mencalonkan Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan tertinggi parti.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah berkata kesemua bahagian Umno di negeri ini mahu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan kepimpinan negara dan juga parti.

Tawar diri

"Semua bahagian akan mencalonkan Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib bagi jawatan presiden dan timbalan presiden," katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah projek perumahan Darulaman Perdana di Alor Star.

Syed Razak berkata semua ketua bahagian termasuk beliau, bersetuju pada mesyuarat bulanan Perhubungan Umno Negeri yang lalu untuk menyokong keputusan MT supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah menawarkan diri untuk bertanding jawatan ahli MT.

Beliau yang juga ketua penaja Umno Bahagian Nibong Tebal, berkata beliau mahu bertanding atas kedudukannya sebagai timbalan ketua menteri yang bertanggungjawab menjaga kepentingan orang Melayu Pulau Pinang melalui Umno.

Katanya beliau difahamkan dua lagi pemimpin Umno Pulau Pinang akan turut menawarkan diri bertanding MT -- bekas timbalan ketua menteri, Datuk Dr Hilmi Yahaya, yang kini Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan dan juga ahli MT serta Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Mohamed Shariff Omar.