Hasrat Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman untuk mencabar Datuk Seri Rafidah Aziz bagi jawatan ketua Ketua Pergerakan Wanita nampaknya telah "meresahkan" beberapa penyokong kuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dr Siti Zaharah pernah menewaskan Rafidah bagi jawatan Ketua Wanita Umno pada 1996 dan Rafidah memenangi jawatan itu semula pada pemilihan pergerakan itu tahun 2000.

Hari ini, pengumuman mengejut Dr Siti Zaharah itu telah mendorong Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta semua pemimpin pergerakan itu supaya berhati-hati dalam membuat keputusan supaya tidak menjejaskan perpaduan parti.

Menurut Bernama , Shahrizata berkata, walaupun Umno mengamalkan demokrasi, dan setiap pemimpin boleh membuat keputusan sendiri, tetapi harus diingatkan bahawa ada tindakan mereka yang mungkin melemahkan pergerakan yang menurutnya kini berada di tahap begitu baik sekali.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Siti Zaharah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dalam pemilihan parti September ini jika memperolehi pencalonan yang mencukupi.

Terdahulu, Shahrizat menyampaikan geran tahunan kepada pertubuhan sukarela kebajikan peringkat kebangsaan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kepimpinan Rafidah sekarang telah menyatukan pergerakan itu dan memberi kekuatan dan kebebasan kepada ahli menjalankan tugas parti dengan baik.

"Saya lihat selama empat tahun saya jadi naib ketua, saya turun bersama Datuk Seri (Rafidah) ke semua bahagian dan saya nampak beliau telah menyatukan Wanita Umno, memberi kekuatan kepada mereka, memberi kebebasan kepada Wanita Umno bahagian membuat keputusan dan menjalankan program-program dengan baik sekali.

Hadiah terbaik

"Kalau ada ahli-ahli Wanita Umno tak puas hati, mereka selalu diberi ruang dan peluang sama ada di pejabat Datuk Seri atau saya untuk mengemukakannya. Kalau ada yang tak betul, kita betulkan. Mana yang lemah, kita kuatkan," katanya.

Shahrizat turut melahirkan hasratnya untuk melihat pergerakan Wanita Umno terus bersatu di bawah kepimpinan Rafidah.

"Di bawah Datuk Seri (Rafidah) saya dapat lihat kesatuan itu. Pada saya, ini satu-satunya pemberian Wanita Umno kepada Umno induk. Ini adalah hadiah terbaik daripada Wanita untuk politik tanahair. Jangan pandang ringan kekuatan dan perpaduan ini," katanya.

Ketika mengumumkan hasratnya semalam, Dr Siti Zaharah berkata beliau tidak mempunyai sebarang motif untuk mencabar Rafidah melainkan untuk memperkuatkan lagi Wanita Umno dan membentuk barisan pelapis secara sihat.

Oleh itu, katanya, pergerakan tersebut tidak perlu takut kepada kemunculan idea-idea baru dan membuang elemen ego bahawa yang lama itu adalah yang terbaik.

Bulan lalu, Dr Siti Zaharah berjaya mengekalkan jawatannya sebagai ketua Wanita Umno bahagian Paya Besar, Pahang.

Malaysiakini difahamkan, beliau mungkin mendapat sokongan daripada bekas-bekas ahli Puteri Umno yang kini menjadi ahli Pergerakan Wanita Umno.

Mesyuarat Pergerakan Wanita Umno di Kuala Lumpur pada 27 April lalu sebulat suara menetapkan jawatan ketua dan naib ketua pergerakan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti September ini.

Ketika itu, Rafidah dilaporkan berkata keputusan itu dibuat kerana ingin mengekalkan perpaduan dalam pergerakan tersebut, selain mengelak porak-peranda kepada parti.