Angkatan Muda Keadilan (AMK) menganggap tindakan Universiti Malaya (UM) terhadap aktivis pelajar berkaitan program Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus itu, sebagai tidak menghormati hak asasi mahasiswa untuk berkumpul dan bersuara.

"Malah (ia) menidakkan kebolehan mahasiswa untuk berfikir dan bertindak dengan matang," kata Naib Ketua AMK, Fahmi Fadzil.

Semalam, UM menggantung pengajian Fahmi Zainol selama dua semester dan didenda RM600.

Turut digantung pengajian ialah Safwan Shamsuddin selama satu semesta dan didenda RM300 selain tindakan disiplin ke atas beberapa mahasiswa berkaitan program tersebut.

Fahmi berkata beliau cukup kesal, kerana dengan tindakan itu, pentadbir UM seakan mahu mahasiswa hidup di bawah tempurung dan tidak berinteraksi dengan masyarakat dan realiti sosio-politik semasa.

"... dan hanya menjadi pak turut robotik dengan mengiakan apa sahaja yang diarah pemerintah, walaupun ianya salah atau zalim," katanya dalam satu kenyataan.

Fahmi juga bertanya adakah tindakan disiplin tersebut menyampaikan mesej yang baik kepada dunia akademik.

"... bahawa institusi pengajian tinggi tertua di Malaysia itu takut akan mahasiswa sehingga ia tidak berani memberi ruang untuk pertentangan idea yang sihat?" tegasnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlukan lebih ramai Fahmi Zainol dan Safwan Shamsuddinyang menurutnya anak-anak muda yang berani bangkit bersuara kerana "kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku di depan mata".

"Anak-anak muda lah yang menjadi hati nurani masyarakat dan menjadi penggerak perubahan.

"Tatkala negara menghadapi pelbagai krisis - ekonomi, kepimpinan politik dan sebagainya - anak muda lah yang menjadi pencetus semangat "nahdah", yakni "kebangkitan" menuju Malaysia yang lebih baik.

"Universiti bukan kilang, Mahasiswa bukan robot!" tegasnya.

Sementara itu, Mahasiswa Keadilan Malaysia mengutuk keras hukuman gantung pengajian Fahmi Zainol dan safwan dan menganggapnya sebagai "jelas tidak menghormati kebebasan akademik". an

"Mereka cuba membawa wacana segar dengan menjemput bekas timbalan perdana menteri untuk berkongsi pendapat berkaitan isu-isu berbangkit dalam negara.

"Tidak menjadi kesalahan untuk menjemput mana-mana pihak untuk memberikan pendapat berkaitan isu-isu negara," kata naib presidennya, Naqiuddin Nazrin dalam satu kenyataan.

UM, tegas beliau, wewajarnya bersikap terbuka dengan penganjuran pidato umum itu.

"Tambahan pula, Datuk Seri Anwar merupakan bekas timbalan perdana menteri dan memegang jawatan Ketua Pembangkang, satu jawatan cukup tinggi dalam institusi parlimen.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan alumnus Universiti Malaya dan diiktiraf dunia ketokohannya," tegas Naqiuddin.

Sehubungan itu, katanya, Mahasiswa Keadilan Malaysia menyeru agar Fahmi dan Safwan merayu terhadap keputusan dan mencabarnya di mahkamah.