Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran mempersoalkan langkah kerajaan BN memanggil Duta Amerika Syarikat Joseph Yun dan mendakwa tindakan itu akan memalukan lagi negara di mata dunia.

Surendran, yang merupakan ahli biro biro politik PKR, berkata kebanyakan rakyat Malaysia berkongsi kebimbangan Yun berhubung tindakan perdana menteri mengekalkan Akta Hasutan 1948, kerana penggunaan berterusannya dilihat sebagai menindas dan tidak adil terhadap aktivis pembangkang dan rakyat biasa Malaysia.

"Sebagai sebahagian daripada masyarakat dunia, Malaysia tidak dapat mengelak kritikan antarabangsa berhubung keadilan dan hak asasi manusia di negara ini," kata Surendran, yang sedang menghadapi dua tuduhan menghasut.

"BN tidak boleh memalukan kita lagi dengan merasa tersinggung dengan kritikan yang sah dari luar negara. Ia adalah keputusan yang mengejutkan oleh Umno-BN untuk mengekalkan Akta Hasutan yang membuka negara kita kepada penelitian dan kritikan antarabangsa," katanya .

Menteri Luar Datuk Anifah Aman malam tadi memanggil Yun untuk menjelaskan tindakannya mempersoalkan penggunaan berterusan undang-undang itu terhadap pembangkang, aktivis dan seorang wartawan, dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini.

Surendran berkata Datuk Seri Najib Tun Razak secara terang-terangan telah memungkiri janjinya dua tahun lalu untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Najib mengumumkan keputusan mengekalkan akta tersebut dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

[Baca berita penuh/asal]