PM dan TPM akan terus dilantik dari kalangan orang Melayu: Abdullah
Kerajaan tidak bercadang untuk mengubah amalan melantik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan Melayu seperti selama ini kerana ia diterima baik oleh rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kerajaan tidak bercadang untuk mengubah amalan melantik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan Melayu seperti selama ini kerana ia diterima baik oleh rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Pandangan saya (mengenai pelantikan itu) adalah dilambangkan dengan apa yang saya lakukan seperti yang diamal oleh parti saya selama ini, yang juga tidak dibantah oleh majoriti rakyat bahkan menyokongnya," katanya.
Menurut Bernama , Perdana Menteri menegaskan demikian ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini berhubung perkara tersebut.
Tan, dalam soalannya, ingin tahu sama ada terdapat kemungkinan bukan bumiputera dilantik ke jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri memandangkan negara ini mempunyai pelbagai kaum.
Menjawab soalan asal dari Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Perdana Menteri berkata, bagi Barisan Nasional (BN) amalan selama ini telah diterima baik oleh semua pihak.
"Bahkan amalan BN dalam pelantikan barisan kepimpinannya, serta cara pengagihan kerusi, bukan sahaja dalam pilihanraya, tetapi dalam kabinet dan juga Dewan Undangan Negeri, disenangi rakyat dan sokongan itu tidak pernah kurang daripada majoriti yang diberikan selama ini," katanya.
Menurut Abdullah lagi, perkongsian kuasa ini sudah menjadi amalan BN selama ini, dan dasar tersebut mendapat sokongan majoriti rakyat sebagaimana dibuktikan dengan kemenangan melalui pilihanraya sejak dahulu lagi.
Perlantikan
Katanya, pelantikan Perdana Menteri dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, menggunakan kuasanya berdasarkan individu itu mempunyai kepercayaan rakyat untuk memimpin negara berbilang kaum ini, melalui parti yang memegang majoriti dalam Dewan Rakyat.
Katanya individu itu juga mestilah menjadi Ahli Dewan Rakyat.
" Kita tidak (boleh) persoalkan prerogative (kuasa) Yang di-Pertuan Agong (tentang) siapa yang dilantiknya," kata Abdullah.
Beliau menjelaskan bahawa pelantikan Timbalan Perdana Menteri pula adalah dalam bidang kuasa Perdana Menteri yang mengambil kira bahawa individu itu boleh membantu dan mendapat kepercayaan majoriti.
Menjawab soalan Datuk Jacob Dungau Sagan (BN-Baram) mengenai tindakan kerajaan melibatkan kaum bumiputera daripada kumpulan kecil seperti Orang Asli dan Orang Ulu dalam pentadbiran negara, Abdullah berkata kerajaan akan terus berusaha memperluaskan penyertaan pelbagai kaum dalam urusan ini.
"Usaha kerajaan ini untuk memastikan mereka turut menyumbang dalam pembangunan negara berkembang dari semasa ke semasa," kata Perdana Menteri.

