RM200,000 bantu orang miskin di setiap kawasan Parlimen
Setiap kawasan Parlimen akan menerima peruntukan RM200,000 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk program membaik pulih rumah orang miskin.
Setiap kawasan Parlimen akan menerima peruntukan RM200,000 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk program membaik pulih rumah orang miskin.
Menterinya, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin berkata kementerian menetapkan RM2,000 hingga RM5,000 sebagai kos membaik pulih sebuah rumah terbabit.
Menurutnya, Ahli Parlimen bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) boleh menggunakan peruntukan itu bagi memperbaiki rumah orang miskin yang dikenalpasti, terutama di luar bandar.
Berikutan itu, katanya, semua Ahli Parlimen diminta menyediakan data dan maklumat mengenai taraf kemiskinan dan perumahan orang miskin di kawasan masing-masing supaya peruntukan dapat dikeluarkan.
Abdul Aziz menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus peningkatan imej warga kerja kementerian itu di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, kerja membaik pulih rumah terbabit akan dilakukan secara gotong royong bagi meningkatkan semangat kerjasama dan menyemai perasaan muhibah di kalangan penduduk, di samping dapat mengurangkan kos.
Komputer
Syarat utama bagi penerima bantuan melalui program membaik pulih tersebut adalah sama dengan penerima bantuan pembelian rumah bagi orang miskin di bawah kementerian, iaitu pendapatan seisi rumah mereka di bawah RM590 sebulan dengan anggota isi rumah juga besar.
"Saya telah bincang dengan Ketua Setiausaha kementerian supaya program ini (kedua-duanya) dapat dilaksanakan secara besar-besaran," katanya.
Beliau berkata kementerian menanggung kos pembelian rumah bagi orang miskin yang layak sama ada secara persendirian atau berkelompok dengan peruntukan antara RM10,000 hingga RM15,000 seorang.
Menurut Abdul Aziz lagi, selain program bantuan perumahan rakyat termiskin, kementeriannya juga akan memperhebatkan lagi program kemasyarakatan agensi di bawahnya iaitu Kemas dengan menambah pembukaan kelas pra-sekolah Tabika dan Taska.
Pusat teknologi maklumat "Info Desa" yang kini berjumlah 17 buah juga akan diperbanyakkan bagi memberi pendidikan komputer dan kemudahan ICT kepada masyarakat desa.
Abdul Aziz berharap segala kemudahan tersebut akan membantu penduduk kampung menjalankan kegiatan ekonomi secara kecil-kecilan dan memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan melalui bimbingan pegawai kementerian.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.