Jangan pertikai formula lantik PM, TPM: Najib
Formula yang sudah diterima di Malaysia dalam soal pelantikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak harus dipertikaikan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Formula yang sudah diterima di Malaysia dalam soal pelantikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak harus dipertikaikan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana amalan tersebut sudah menjadi budaya dan telah diterima sebagai "kontrak sosial" antara masyarakat pelbagai kaum sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.
"Ini memang merupakan satu daripada hakikat. Walaupun tidak tertulis dalam perlembagaan, tapi ia adalah gambaran keadaan yang sebenarnya, berdasarkan kedudukan demografi dan politik di Malaysia," katanya dalam sidang media di Bandar Seri Begawan, Brunei hari ini.
Menurut Bernama , Najib menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Malaysia akan kekal dengan amalan melantik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan orang Melayu dan Islam.
Perdana Menteri
menegaskan
demikian di Dewan Rakyat semalam, ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang ingin tahu mengenai kemungkinan bukan bumiputera dilantik sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana negara ini berbilang kaum.
Tolak ansur
Oleh itu, menurut Najib, isu tersebut tidak harus dipertikaikan oleh sesiapa.
"Kita telah bersetuju atas kontrak sosial yang sudahpun merupakan satu persefahaman serta amalan, malah sudah diinstitusikan di Malaysia...bererti ia sudah dibudayakan dalam cara kita mengendali dan mentadbir negara kita," katanya.
Menurutnya lagi, apa yang penting ialah untuk memupuk semangat tolak ansur dan permuafakatan antara kaum di Malaysia.
"Dengan itu, kita dapat menentukan kestabilan politik. Kestabilan inilah yang merupakan asas kenapa Malaysia begitu berjaya.
"Jadi formula ini tidak seharusnya dirungkai kerana ini akan meletakkan negara dalam keadaan yang tidak menentu," katanya.
Ditanya mengenai pendirian parti-parti politik dalam Barisan Nasional (BN) mengenai perkara tersebut, Najib berkata formula itu tidak pernah menjadi persoalan di kalangan mereka.
"Parti-parti komponen BN sudah menerima hakikat ini dan mereka memberi kepercayaan terhadapnya...asalkan dasar BN adil kepada semua kaum. Soal yang lebih penting ialah supaya dasar yang dilaksanakan dan didokong BN mesti adil kepada semua," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.