Keputusan kes Mejar Zaidi 7 Januari
Diterbitkan: Dec 19, 2014 1:22 PM | Dikemas kini: Dec 19, 2014 1:30 PM
Mahkamah tentera menetapkan 7 Januari ini untuk menyampaikan keputusannya terhadap kes Mejar Zaidi Ahmad.
Pegawai yang mempengerusikan pendengaran itu, Kolonel Saadon Hasnan berkata ini bagi memberi masa kepada mahkamah itu untuk membincang dan mendapatkan pandangan mengenai kes itu dan memastikan keadilan kepada Zaidi.
Zaidi, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, dihadapkan ke ke mahkamah tentera berhubung kenyataan awamnya mengenai kemelut penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya umum lepas.
Sebelum itu, peguam utama Major Zaidi gagal dalam usaha untuk mendapatkan mahkamah tentera mengisytiharkan bahawa pendengaran terhadap anak guamnya sebagai silap bicara (mistrial).
Saadon memberitahu peguam Hanipa Maidin (kiri) bahawa beliau seharusnya membangkitkan perkara itu di mahkamah yang lebih tinggi.
"Mahkamah ini bukanlah forum yang sesuai (untuk berhujah tentang salah bicara).
Dengan itu, Saadon memerintahkan pihak pembelaan menjawab kes pendakwaan.
Hanipa (kiri) kemudian memohon maaf dan berkata hujahnya kepada mahkamah hari ini hanyalah untuk mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah yang sama bahawa pendengaran tersebut adalah salah bicara.
Beliau sebelum ini telah memohon penangguhan pendengaran itu sementara menunggu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kes Zaidi, tetapi pihak berkuasa yang mengadakan mahkamah tentera itu memutuskan untuk meneruskan perbicaraan.

