Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan dengan kos petisyen pilihanraya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Pasir Bedamar yang dimenangi oleh DAP dalam pilihanraya umum lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Seah Leong Peng daripada DAP terhadap petisyen calon Barisan Nasional (BN), Lee Heng untuk membatalkan keputusan tersebut.

Menurut Bernama , dalam pilihanraya itu, Seah menewaskan Lee dengan majoriti 3,391 undi. Ia merupakan petisyen pilihanraya yang ketiga yang dibatalkan di Perak.

Sebelum ini, petisyen bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan kerusi negeri Rungkup telah dibatalkan oleh mahkamah manakala perbicaraan bagi kerusi Pantai Remis masih berjalan.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Zainun Ali berkata, petisyen yang difailkan adalah cacat kerana ia tidak membentangkan sebarang kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya 1954.

Lee, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak, meminta supaya keputusan bagi kerusi itu diisytihar tidak sah dengan mendakwa antara lain bahawa satu iklan yang ditaja oleh sebuah kumpulan pengundi di Teluk Intan, telah mempengaruhi pengundi.

Pihak responden menyatakan bahawa tidak ada sebarang bukti yang dikemukakan oleh peguam pempetisyen untuk mengaitkan Seah atau ejennya dengan iklan itu.

Tiada butiran

Menurut Zainun, Lee gagal membuktikan dakwaannya bahawa iklan yang disiarkan dalam akhbar Nanyang Siang Pau pada 20 Mac 2004, iaitu sehari sebelum pilihanraya umum, telah mempengaruhi keputusan pilihanraya bagi kawasan tersebut.

Hakim itu berkata, beliau bersetuju dengan pihak responden bahawa iklan itu, yang meminta pengundi mengundi calon BN untuk kerusi parlimen Teluk Intan tetapi memilih calon DAP untuk kerusi negeri Pasir Bedamar, adalah berkecuali.

Katanya, iklan itu tidak termasuk dalam lingkungan Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Hakim berkata, pihak pempetisyen juga gagal memberikan sebarang butiran untuk membuktikan dakwaan bahawa Seah berada dalam kawasan 50 meter dari pusat mengundi untuk meraih sokongan bagi mendapatkan undi pada hari pengundian dan telah mempengaruhi para pengundi.

Lee diwakili oleh peguam Naran Singh, Manjit Kaur dan Vazeer Alam Mydin manakala Seah diwakili Ngeh Koo Ham, Nga Hock Cheh, David Chai, Leong Cheok King dan Chan Kok Keong.