Dunia Islam digesa membantah keras tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadap sarjana terkemuka Islam Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mempunyai waran tangkap Mesir.

Yayasan Inisiatif Hal Ehwal Tadbir Urus, Hak Asasi Manusia dan Keadilan Sosial Serantau (Rights) berkata, Malaysia perlu segera mengusulkan bantahan terhadap Mesir untuk menarik balik waran itu.

“Dr Yusof Qaradawi Al merupakan simbol suara demokrasi ulung yang berusaha keras membentuk dunia yang demokratik terutama di timur tengah.

“Permintaan oleh sebuah kerajaan rejim zalim Mesir perlulah dibantah,” kata Pengerusi Rights Yusmadi Yusoff ( kanan ).

Yusmadi menegaskan bahawa pengerusi Majlis Ulama Sedunia yang sentiasa membawa suara kesederhanaan Islam perlu dipertahankan.

“Tuntutan ini amatlah penting di kala warga dunia kekurangan tokoh untuk berdepan dengan cabaran ekstremisme agama yang mencabar seperti IS (kumpulan bersenjata Negara Islam).

“Dr Yusof adalah suara tegas yang lantang menolak pendekatan pelampau pelampau agama,” katanya.

Suara moderat Islam

Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap Yusuf dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir.

Menurut laman webnya, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vendalisme dan kecurian.

Langkah itu dilihat bakal mencetuskan perasaan tidak puas hati besar-besaran di hampir kesemua dunia Islam.

Dalam kenyataannya hari ini, Yusmadi berkata, mempertahankan Yusuf bermaksud mempertahkan suara moderat warga dunia menentang rejim tidak demokratik.

“Hak Dr Yusof untuk mendapat tempat perlindungan yang selamat adalah hak asasi manusia beliau yang perlu dipertahankan dan merupakan tanggungjawab semua warga dunia,” katanya.