Ku Li tunggu masa sesuai untuk bercakap
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berhasrat bertanding jawatan presiden Umno berkata beliau tidak perlu bercakap mengenainya kerana tidak mahu dianggap berkempen bagi jawatan tersebut menjelang pemilihan parti September ini.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berhasrat bertanding jawatan presiden Umno berkata beliau tidak perlu bercakap mengenainya kerana tidak mahu dianggap berkempen bagi jawatan tersebut menjelang pemilihan parti September ini.
"Tak perlulah saya cakap lagi, nanti orang cakap saya berkempen pulak, jadi lebih baik saya tidak berkata apa-apa, tunggu masa yang sesuai kalau saya perlu bercakap," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Menurut
Bernama
, beliau yang menang tanpa
bertanding bagi jawatan Ketua Umno Gua Musang bagaimanapun enggan menyatakan
bilakah `masa yang sesuai' untuk beliau bercakap mengenai perkara itu.
Calon presiden perlu mendapatkan 30 peratus pencalonan atau 58 daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara.
Tengku Razaleigh belum mendapat sebarang pencalonan daripada 62 bahagian Umno yang selesai mesyuarat sehingga Ahad lalu. Baki 129 bahagian lagi perlu menyelesaikan mesyuarat mereka pada 22 Julai ini.
Kesemua 62 bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai presiden dan Datuk Seri Najib Razak sebagai naib presiden.
Hasrat
Bekas naib presiden Umno itu berkata beliau menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan mengenai hasratnya bertanding jawatan presiden.
"Ini urusan parti. Tidak ada apa yang saya nak perkatakan kerana saya telah menyatakan hasrat saya dalam persidangan perwakilan Umno di bahagian saya," katanya.
Sementara itu, empat calon telah melepasi tahap kelayakan 20
pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden, termasuk dua penyandangnya
Tan Sri Muhyiddin Yassin (57) dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib (35).
Dua lagi calon yang layak ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam (39) dan Datuk Mustapa Mohamed (21).
Bagi jawatan MT pula, 27 calon sudah melepasi tahap 10 pencalonan yang perlukan bertanding, termasuk Datuk Seri Mohd Khir Toyo (24), Datuk Azalina Othman (18), Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor (13), Datuk Seri Shahidah Kassim (16), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (21) dan Datuk Annuar Musa (11).
Bagi jawatan Ketua Wanita Umno pula, penyandangnya Datuk Seri Rafidah Aziz dan naibnya, Datuk Shahrizat Jalil sudah melepas tahap pencalonan minimum bagi mempertahankan jawatan masing-masing.
Layak bertanding
Rafidah memperolehi 125 pencalonan manakala Shahrizat mendapat 130
undi. Tahap minimum bagi jawatan tersebut ialah masing-masing 39 dan 29
pencalonan. Manakala seorang lagi calon bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Datuk Dr
Siti Zaharah Sulaiman, setakat ini memperolehi 5 pencalonan.
Seperti yang dijangkakan, Datuk Hishammuddin Hussein memperolehi 132 untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno. Manakala menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin pula mendapat 123 pencalonan bagi jawatan Naib Ketua.
Bagi jawatan Ketua Puteri Umno, dua calon - Noraini Ahmad dan Suraya Yaacob - sudah layak bertanding selepas masing-masing melepasi tahap dua pencalonan. Noraini sehingga ini mendapat 114 pencalonan manakala Suraya memperolehi 28 pencalonan.
Begitu juga dengan jawatan Naib Ketua Puteri Umno di mana empat calon sudah layak bertanding. Mereka ialah Azalinda Mohd Rashad (18), Rosnah Abdul Rashid (74), Bibi Sharliza Khalid (31) dan Shahaniza Shamsuddin (18).
Bagi Puteri Umno, calon hanya memerlukan dua pencalonan untuk bertanding mana-mana jawatan dalam pergerakan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.