Ada ahli Wanita tidak senang dengan cara saya: Rafidah
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz membayangkan kemungkinan beliau dicabar untuk jawatan Ketua Wanita Umno kerana ada di kalangan ahli pergerakan itu yang tidak senang dengan cara kepimpinannya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz membayangkan kemungkinan beliau dicabar untuk jawatan Ketua Wanita Umno kerana ada di kalangan ahli pergerakan itu yang tidak senang dengan cara kepimpinannya.
Beliau mengakui bahawa ramai di kalangan ahli pergerakan itu sekarang tidak begitu senang dengan caranya bekerja dan menganggap beliau seorang yang sukar didekati dan tidak boleh dibawa berbincang.
Keadaan tersebut, katanya, sedikit sebanyak telah memecahbelahkan ahli "dan jalan terbaik ialah menyatukan semula wanita Umno dan inilah yang cuba dilakukan untuk memulihkan kembali keadaan".
Sehingga semalam, Rafidah telah mendapat 124 pencalonan manakala lima bahagian Wanita Umno setakat ini telah mencalonkan bekas Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman untuk mencabar Rafidah dalam pemilihan Umno September ini.
Dr Siti Zaharah memerlukan 34 pencalonan lagi untuk layak bertanding. Antara yang mencalonkan Dr Siti Zaharah untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno ialah Raub, Pekan dan Lipis, semuanya dari Pahang.
Namun begitu, kata Rafidah, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk Dr Siti Zaharah masuk bertanding semula kerana ia boleh mengundang masalah yang baru.
Oleh itu, Rafidah menasihati bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu supaya tidak meneruskan hasratnya untuk merebut jawatan ketua Wanita Umno kerana ia hanya akan memecahbelahkan pergerakan terbabit.
"Jadi, kalau boleh jangan bertanding. Kita exco, kata tidak tapi beliau bukan exco, jadi hak beliaulah untuk bertanding. Tetapi mesti dapat pencalonan 30 peratus," katanya kepada Bernama di Hong Kong semalam.
Cabaran
Menurutnya lagi, walauapa pun niat Dr Siti Zaharah, ia hanya akan mengundang kembali masalah-masalah yang timbul ekoran pemilihan lalu di mana beliau (Rafidah) merampas semula jawatan Ketua Wanita.
Pada tahun 1996 Dr Siti Zaharah menewaskan Rafidah yang telah memimpin sayap kanan Umno itu selama 12 tahun bagi jawatan tersebut dengan kelebihan 12 undi. Tetapi dalam pemilihan tahun 2000 Rafidah kembali menjadi Ketua Wanita apabila menewaskan Siti Zaharah juga dengan kelebihan 12 undi.
Dr Siti Zaharah bagaimanapun digugurkan daripada kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihanraya umum lalu.
"Saya tidak tahu apa matlamatnya. Tapi, rasanya ramai yang akan percaya jika saya katakan perebutan jawatan yang pertama antara saya dan Siti Zaharah dulu dan beliau menang, jelas menunjukkan wujudnya masalah," katanya.
Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Hong Kong. Beliau sebelum itu berada di Taiwan dan Jepun bersama wakil sektor swasta dan kerajaan negeri bermula 5 Julai lalu.
Menurutnya lagi, melalui pengalamannya, bukan mudah untuk menyatukan kembali ahli dan mewujudkan persefahaman yang jitu untuk keharmonian parti.
"Saya mengambil masa antara tiga dan empat tahun untuk menyatukan Wanita. Saya sendiri turun ke akar umbi selepas menang semula untuk berdamai kerana bila bertanding, timbul pelbagai fitnah dan tohmahan terhadap individu tertentu termasuk saya," katanya.
Rafidah berkata, kalau tidak ada cabar mencabar dalam parti, bererti kerja akan diteruskan dan ahli serta pemimpin peringkat akar umbi tidak perlu dipecahbelahkan perhatian mereka.
"Tidak perlu berbelah bagi nak mengundi orang itu dan orang ini, tidak perlu ada penyokong A dan penyokong B," katanya.
Tidak wajar
Mengenai hasrat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan presiden Umno, Rafidah berkata ia tidak wajar kerana hanya mengundang "luka lama" yang akan melumpuhkan Umno.
"Tengku Razaleigh masih boleh berbakti di peringkat Majlis Tertinggi Umno dan di Kelantan. Tak perlu bertanding. (Memang) hak beliau untuk bertanding tapi bagi saya perdana menteri bukan orang yang boleh diperkotak-katikkan. Presiden Umno adalah perdana menteri," katanya.
Beliau berkata tidak ada sebab yang munasabah untuk Tengku Razaleigh menentang Abdullah kerana rakyat telahpun menyatakan sokongan padu kepada Abdullah menerusi kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lepas.
"Jadi, supaya suara beliau sebagai presiden Umno dan perdana menteri adalah suara kita yang "kuat", bukannya suara seseorang yang tidak disenangi oleh sebahagian ahli parti," katanya.
Rafidah berkata, walaupun negara ini mengamalkan prinsip demokrasi, ada beberapa perkara yang tidak wajar dilakukan sekiranya perkara itu boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan parti.
"Betul demokrasi, tapi tidak perlu pertandingan semata-mata kerana demokrasi. Kalau itulah yang kita amalkan dalam Umno, parti tidak akan kekal kuat," katanya.
Rafidah berkata tidak ada pertimbangan lebih besar yang perlu dititiberatkan melainkan pertimbangan untuk bangsa, agama dan negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.