Polis siasat penyampai radio BFM
Polis merakam kenyataan lima orang penyampai radio stesen BFM yang dinamakan dalam satu laporan polis ke atas mereka oleh beberapa NGO Islam.
Jurucakap BFM, Meera Sivasothy memberitahu Malaysiakini bahawa lima orang yang dinamakan dalam laporan itu memberi kenyataan mereka di balai polis Dang Wangi semalam.
Beliau yang enggan mendedahkan soalan yang diajukan kepada penyampai radio tersebut berkata ia berhubung kait dengan laporan polis tersebut.
Lima orang yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah Sharaad Kuttan, Umapagan Ampikaipakan, Ezra Zaid, Patrick Teoh dan Caroline Oh.
Kelima-limanya diiringi oleh peguam yang dilantik stesen radio tersebut.
Menurut BFM, laporan polis itu berhubung satu program mereka pada 12 Disember lalu.
Kumpulan NGO Islam tersebut menuntut agar penyampai radio berkenaan disiasat mengikut Akta Hasutan kerana program berkenaan didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia.
Laporan itu antara lainnya dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada minggu lalu mengenakan denda ke atas BFM kerana menyiarkan wawancara dengan Reza tanpa kebenaran suruhanjaya tersebut.

