Rakyat Malaysia tiada pilihan selain menukar kerajaan sedia ada jika tidak mahu keselamatan mereka terancam akibat pembinaan loji nuklear di negara ini, kata seorang ahli panel forum anti-nuklear.
 
Kenyataan itu dilontarkan mantan presiden International Physician for The Prevention of The Nuclear (IPPNC) Datuk Dr Ronald McCoy ( kiri ), dalam forum itu di ibu negara malam tadi.
 
"Satu-satunya cara untuk memberhentikan pembinaan loji nuklear  ini adalah dengan menukar kerajaan.
 
"Saya tidak nampak sebarang penyelesaian lain," katanya dalam forum itu.
 
Forum bertajuk "Loji Nuklear 2015: Mudarat Kekal" itu dianjurkan Kumpulan Anak Malaysia Anti Nuklear (AMAN).
 
Forum itu antara lain bagi membantah cadangan kerajaan membina dua loji nuklear yang dijadual bermula 2015.
 
Dua lagi panel forum itu adalah aktivis Bukit Merah dan anti-Lynas Prefesor Dr Tan Ka Kheng dan Felo Akademi Sains Malaysia Profesor Ir G Lalchand, manakala Pengasas Bantah TPPA Anas Alam Faizli sebagai moderator.
 
Sementara itu, Profesor Lalchand berkata, terlalu banyak persoalan yang tidak dijelaskan oleh kerajaan berhubung pembinaan dua loji nuklear itu.
 
Lebih-lebih lagi ujar beliau, ia dicadang dalam keadaan Malaysia mempunyai alternatif lain bagi menjana tenaga.
 
Menurut Lalchand lagi, buat masa ini Malaysia sama-sekali tidak perlukan tenaga nuklear.
 
"Sekurang-kurangnya sehingga tahun 2025. Nuklear hanya pilihan terakhir," katanya sambil menambah Malaysia boleh mengadakan program keberkesanan tenaga (Energy Effiency) sebagai alternatif.
 
Menjawab persoalan jaminan keselamatan jika loji itu dibina, Lalchand mencadangkan ia dibina di Putrajaya - pusat pentadbiran kerajaan - jika ia benar-benar selamat.
 
Pada tahun 2009, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP), di bawah EPP-11 bahagian (Minyak, Gas dan Tenaga), kerajaan mencadangkan dua loji nuklear dibina sebagai sumber baru penjanaan elektrik.
 
Mengikut perancangan, loji berkapasiti 2,000 MW yang bakal dibangunkan itu akan mula menjana tenaga elektrik pertama pada tahun 2021.
 
AMAN mendakwa, melalui maklumat yang diperolehi mereka, tujuh lokasi telah dikenal pasti oleh kerajaan -  masing-masing dua di Terengganu, Johor dan Perak serta satu di Kedah.
 
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, maklumat tersebut tidak didedahkan oleh kerajaan.