Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda bagi menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

"Pendirian kerajaan mengenai Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan pengiktirafan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga ciri-ciri Islam yang diamalkan dalam mengurus negara dan umatnya," kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Shabery Cheek (BN-Kemaman) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Abdullah, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, telah diperkukuhkan melalui peruntukan Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

"Perlembagaan juga mengiktiraf Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja," katanya.

Menurut Bernama , Abdullah berkata, dalam melindungi amalan agama di kalangan umat Islam, Fasal (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan boleh digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

"Mengikut takrif yang diberikan oleh para ulama Mu'tabar pula, Malaysia memenuhi ciri-ciri sebagai sebuah negara Islam," katanya.

Banteras rasuah

Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Mohd Salleh Tun Said (BN-Kota Belud), Abdullah berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai strategi dan pendekataan untuk membendung rasuah merebak ke pelbagai peringkat termasuk dari masa ke semasa mengeluarkan arahan dan pekeliling kepada kakitangan kerajaan.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata selain itu kerajaan juga berusaha mempertingkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti dalam jentera pentadbiran kerajaan.

Antaranya dengan mengeluarkan Arahan Perdana Menteri No 1 Tahun 1998 mengenai Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia iaitu penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah yang telah dilancarkan pada 8 Januari 1998 oleh Perdana Menteri pada masa itu, katanya.

Mohd Salleh dalam soalannya ingin tahu tahap kemajuan dalam usaha kerajaan membanteras gejala rasuah di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara setakat ini.

Abdullah berkata selain itu kerajaan juga mengambil tindakan daripada segi perundangan di mana Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah dikuatkuasakan mulai 8 Januari 1998 yang mempunyai peruntukan baru yang lebih baik dengan mengadakan peruntukan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah jenayah rasuah.

Ini adalah supaya usaha menangani perlakuan jenayah rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan mempunyai unsur pencegahan, katanya.

Beliau juga berkata selain itu kempen kesedaran dan aktiviti pendidikan masyarakat serta pencegahan rasuah turut dilaksanakan bertujuan menyedarkan anggota perkhidmatan awam mengenai implikasi buruk jenayah, sekaligus memantapkan integriti dan penghayatan serta pengamalan nilai murni dan mulia.