Majlis Ulama Indonesia (MUI) membenarkan umat Islam mengucapkan Selamat Hari Natal kepada penganut Kristian.

Ketua Umum MUI, Profesor Dr Din Syamsuddin berkata MUI sejak dahulu tidak pernah melarang penganut Islam daripada berbuat demikian.

Sebaliknya kata beliau, perkara yang dilarang MUI sejak tahun 1981 adalah upacara sambutan Krismas bersama penganut Kristian.

"Fatwa MUI pada 1981 itu tentang perayaan Natal bersama.

"Hal yang diharamkan adalah apabila umat Islam mengikuti upacara Natal bersama," kata Din, seperti dilaporkan akhbar Tempo , pada 23 Disember lalu.

Menurutnya, fatwa itu dikeluarkan kerana penganut Islam pada masa itu dikesan ke gereja menyertai upacara ibadah penganut Kristian.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 memutuskan umat Islam harus mengucap selamat kepada penganut agama lain.

Syaratnya, "ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam", fatwa itu dipetik.

Sementara itu, muzakarah ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 pula menyenaraikan beberapa garis panduan sambutan perayaan agama lain untuk orang Islam.

Umat Islam dibenarkan menghadiri perayaan agama lain selagi ia "tidak bertentangan dengan akidah Islam, tidak bertentangan syarak, dan tidak bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam”.

Di antara perkara yang dilarang adalah memasang pokok Krismas dan memakai pakaian berwarna merah seperti Santa Claus.