Ketua penaja Pemuda Umno Putrajaya tewas dengan tiga undi
Pertandingan sengit bagi jawatan ketua penaja Pemuda Umno bahagian Putrajaya berakhir dengan kemenangan kepada Ketua Unit Dasar Pejabat Perdana Menteri, Ahmad Zaki Zahid.
Pertandingan sengit bagi jawatan ketua penaja Pemuda Umno bahagian Putrajaya berakhir dengan kemenangan kepada Ketua Unit Dasar Pejabat Perdana Menteri, Ahmad Zaki Zahid.
Beliau menumpaskan penyandang jawatan tersebut Muhammad Khairun Aseh dengan hanya tiga undi. Ahmad mendapat 34 undi manakala Khairun mendapat 31 undi.
Menurut Bernama keputusan tersebut diumumkan pada jam 2.05 pagi ini di Dewan Serbaguna Presint 8 di Putraja. Tiada undi rosak.
Muhammad Khairun, 27, dan Ahmad Zaki 33, masing-masing sebelum ini merupakan ketua penaja dan naib ketua penaja Pemuda bahagian Putrajaya.
Zaki mencatatkan kemenangan itu walaupun beliau sebelum ini hanya mendapat lima pencalonan berbanding sokongan 10 cawangan kepada Muhammad Khairun, yang juga anak kepada Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Aseh Che Mat.
Dalam ucapan pertamanya sebagai Ketua Pemuda bahagian sebaik sahaja pengumuman itu dibuat, Ahmad Zaki berkata beliau dengan rendah hati menerima kemenangan itu.
Dihormati
Zaki mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Khairun kerana bertanding secara sihat, sambil menegaskan wawasannya untuk menjadikan Pemuda Putrajaya sebagai sebuah organisasi yang disegani dan dihormati di seluruh negara.
Perwakilan turut mencalonkan Datuk Hishammuddin Tun Hussein sebagai ketua Pemuda dan Khairy Jamaluddin sebagai naib ketua dalam pemilihan parti September ini.
Sementara itu, persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Putrajaya di Dewan Serbaguna Presint 16, sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Rafidah Aziz bagi jawatan ketua Wanita dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai naib ketua pergerakan itu.
Mesyuarat malam ini menyaksikan kemenangan Azizah Mohd Nor sebagai ketua Wanita bahagian dan Sadiah Bakar sebagai naib ketua.
Rafidah dan Shahrizat juga turut mendapat pencalonan daripada Wanita Umno bahagian Kuala Nerus.
Sebelum ini, tujuh bahagian Wanita Umno di Terengganu yang telah mengadakan persidangan mereka iaitu Hulu Terengganu, Setiu, Marang, Kemaman, Dungun, Besut dan Kuala Terengganu dan kesemuanya turut mencalonkan gandingan Rafidah dan Shahrizat.
Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Nerus, merupakan bahagian terakhir di Terengganu yang mengadakan persidangan perwakilannya.
Mesyuarat semula
Di mesyuarat tersebut, penyandang ketua Wanita bahagian, Khatijah Awang menang tanpa ditandingi bagi jawatan tersebut manakala naib ketua, Mariam Daud turut mengekalkan jawatannya tanpa saingan.
Sementara itu, mesyuarat Wanita Umno Bahagian Pasir Mas yang dijadualkan hari ini ditangguhkan berikutan semua 168 cawangan wanita bahagian itu diarahkan mengadakan semula mesyuarat masing-masing serentak semalam.
Ketua Penaja Umno Pasir Mas Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata Badan Perhubungan Umno Negeri mengarahkan mesyuarat diadakan semula setelah menerima bantahan dari beberapa cawangan yang tidak berpuas hati dengan perjalanan persidangan yang dilaksanakan.
Katanya, badan perhubungan membuat keputusan itu setelah meneliti bantahan yangditerima dari beberapa cawangan, antaranya mesyuarat yang dijalankan tidak mengikut peraturan dan sebagainya.
Menurut Bernama , badan perhubungan juga akan menetapkan tarikh bagi mesyuarat Wanita bahagian itu manakala persidangan perwakilan bahagian lain tidak terjejas dan berjalan mengikut jadual.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.