Pemimpin Umno Gua Musang tentang hasrat Ku Li tanding presiden
Pergolakan terus berlaku di Umno bahagian Gua Musang apabila satu demi satu pemimpinnya membantah hasrat ketua bahagian berkenaan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno September ini.
Pergolakan terus berlaku di Umno bahagian Gua Musang apabila satu demi satu pemimpinnya membantah hasrat ketua bahagian berkenaan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno September ini.
Hari ini, kepimpinan pergerakan wanita bahagian tersebut secara terbuka menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Semalam, dua pemimpin kanan bahagian berkenaan timbalan ketua penajanya Mohamad Saufi Deraman dan ketua Pemudanya Bazlan Baharuddin menasihatkan perwakilan mengambil kira keputusan Majlis Tertinggi (MT) supaya jawatan presiden dan timbalannya tidak pertandingkan.
Manakala ketua Wanitanya, Wan Hazani Wan Mohd Nor menegaskan sokongan terbuka tersebut ketika berucap di hadapan 600 ahli yang menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian tersebut hari ini.
Ternyata, kenyataan Wan Hazani jelas bertentangan dengan hasrat ketua bahagian itu, Tengku Razaleigh, untuk merebut jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti September ini.
Menurut Bernama , Wan Hazani menegaskan bahawa sokongan terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk menerajui parti dan negara, adalah dibuat "demi kebaikan kita bersama".
"Kalau kita tidak sokong pemimpin kita, siapa lagi yang hendak kita sokong," katanya.
Demokrasi
Wan Hazani kemudian meminta 330 ahli perwakilan Wanita yang hadir untuk bangun dan bertepuk tangan sebagai tanda sokongan, yang menyaksikan ramai daripada mereka berbuat demikian.
Semasa merasmikan persidangan perwakilan Pemuda dan Puteri Umno Gua Musang minggu lalu, Tengku Razaleigh menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden parti dengan alasan mahu menentukan demokrasi terus hidup dalam Umno dan kerana jawatan itu kini kosong.
Namun, setelah 66 bahagian selesai mengadakan persidangan perwakilan masing-masing setakat ini, kesemuanya mencalonkan Abdullah. Mengikut perlembagaan parti, seseorang hanya layak bertanding jawatan presiden jika dia mendapat 58 pencalonan.
Bahagian Gua Musang dijadual mengadakan persidangan perwakilannya esok.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Wan Hazani berharap sokongan yang dinyatakannya itu tidak disalah tafsir bahawa beliau "tidak sayangkan Tengku Razaleigh".
"Saya sokong pemimpin negara dan saya sokong dan sayang pemimpin bahagian. Saya benar-benar sayang dan sokong dia. Jangan salah faham kenyataan saya ini sebagai tanda saya tidak sayangkan ketua bahagian saya".
Alasan teknikal
Ditanya sama ada kenyataannya itu bermakna beliau menolak hasrat Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan presiden parti, Wan Hazani sekadar berkata : "Saya minta maaf, sehingga sekarang tidak ada pencalonan untuk beliau."
Beliau juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap bahagian itu yang menghalang pergerakan Wanita mengadakan persidangannya serentak Pemuda dan Puteri pada 9 Julai lalu "atas alasan teknikal".
Mesyuarat Wanita bahagian itu dilangsungkan hari ini setelah dibenarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno Pusat yang dipengerusikan oleh Najib.
Ia bagaimanapun terganggu selepas perasmian dengan beberapa insiden yang membawa kepada kekecohan seperti bantahan dan baling kerusi serta tindakan keluar dewan oleh sebahagian ahli perwakilan yang tidak berpuas hati apabila jawatan Ketua Wanita yang disandang Wan Hazani diumumkan tidak ditandingi.
Wan Hazani diumumkan mendapat 116 pencalonan manakala pencabarnya Zubaidah Mohd Ariffin memperolehi 12 pencalonan itu, kurang daripada minimum 20 pencalonan yang diperlukan untuk bertanding.
Persidangan itu juga mencalonkan Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil masing-masing sebagai Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.