Pencalonan Umno bahagian Pekan pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi ahli Majlis Tertinggi (MT) dan naib presiden amat dinanti-nantikan dan bakal menjadi perhatian para perwakilan di perhimpunan agung parti itu September ini.

Menyedari perkara tersebut, Najib, sewaktu berucap merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian bekenaan, menasihatkan para perwakilan supaya membuat pencalonan dengan bijak dan mestilah mengikut trend nasional.

Oleh itu, beliau yang juga ketua Umno bahagian berkenaan mahu mereka supaya "jangan membuat pencalonan sumbang dan tidak ikut trend nasional".

Katanya, ini kerana mesyuarat perwakilan Umno bahagian berkenaan tidak lagi seperti dulu, tetapi kini bakal menjadi rujukan bahagian-bahagian Umno lain di seluruh negara.

Najib yang juga naib presiden Umno, telah dicalonkan berganding jawatan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti September ini. Sehingga ini, beliau memperolehi 102 pencalonan.

Kerana ini, sebelum ini, ada ura-ura supaya bahagian Pekan dan bahagian Kepala Batas yang diketuai oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dicalonkan untuk jawatan presiden, dikecualikan daripada membuat sebarang pencalonan bagi jawatan naib presiden.

Ini bertujuan bagi mengelak mana-mana pihak daripada menggunakan senarai pencalonan kedua-dua bahagian Umno berkenaan sebagai 'petunjuk' bagi memilih penyandang naib presiden.

"Inilah bezanya kita (bahagian Pekan) hari ini berbanding sebelum ini. Baru-baru ini wanita Umno bahagian (Pekan) telah membuat pencalonan sumbang sedikit dan tidak mengikut trend nasional," katanya, menurut Bernama .

Menang

Beliau merujuk kepada mesyuarat Wanita Pekan pada 10 Julai lalu yang mencalonkan bekas menteri kabinet, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman untuk jawatan Ketua Wanita.

Pencalonan tersebut memeranjatkan banyak pihak kerana kebanyakan Wanita bahagian lain mencalonkan Datuk Seri Rafidah Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bagaimanapun, Rafidah yang telah memperolehi 179 pencalonan untuk memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding. Dr Siti Zaharah hanya memperolehi tujuh pencalonan setakat ini.

Pada tahun 1996 Dr Siti Zaharah menewaskan Rafidah yang telah memimpin sayap kanan Umno itu selama 12 tahun bagi jawatan tersebut dengan kelebihan 12 undi. Tetapi dalam pemilihan tahun 2000 Rafidah kembali menjadi Ketua Wanita apabila menewaskan Siti Zaharah juga dengan kelebihan 12 undi.

Dr Siti Zaharah menang di Parlimen Paya Besar di Pahang tetapi digugurkan daripada kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihanraya umum lalu.

Selain itu Najib turut menasihatkan ahli-ahli Umno agar terus mengukuhkan perpaduan, setia kepada parti, berkhidmat sebaik-baiknya untuk parti dan mengamalkan budaya yang mesra rakyat.

Seramai 503 perwakilan daripada 125 cawangan menghadiri mesyuarat perwakilan itu hari ini.