Perarakan Maulidur Rasul di P Pinang diteruskan
Perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang pada Sabtu ini akan diteruskan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah menyekat acara itu daripada diadakan namun perarakan itu bukannya matlamat utama sambutan Maulidur Rasul sebagaimana amalan beberapa negeri lain.
"Saya kesal ada pihak tertentu menyatakan kononnya kerajaan negeri menyekat perarakan. Ini bukan isu dan ia adalah sebahagian acara sambutan," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
Katanya program yang diberi nama Himpunan Ummah sempena sambutan itu bermula pukul 8 pagi bermula di Vision Park, Kepala Batas sebelum bergerak sejauh 1 kilometer ke Masjid Abdullah Fahim untuk program seterusnya.
Beliau berkata himpunan itu dijangka disertai 50 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang.
Abdul Malik berkata buat julung kalinya solat sunat Dhuha berjemaah akan dianjurkan masjid berkenaan diimamkan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor diikuti tazkirah Dhuha.
Katanya syarahah bertajuk 'Qudwatul Rasul Sirat Ahli Al Sunnah wa Al Jamaah' yang dikupas penyampai tetap kuliah tafsir radio Ikim FM Dr Zahazan Mohamed turut mengisi Himpunan Ummah itu.
Beliau berkata kerajaan negeri sedang berusaha menambah baik pengisian program Maulidur Rasul dan 10 siri ceramah khas telah bermula di Radio Mutiara FM bermula 26 Disember hingga 6 Januari depan pukul 2.30 petang setiap hari.
"Acara kemuncak adalah majlis penganugerahan tokoh Maulidur Rasul dan pelancaran program bacaan Kitab Syamil Muhamadiah di semua 212 masjid mulai tahun depan berbanding hanya enam masjid terlibat sebelum ini," katanya.
- Bernama

