Bermula hari ini, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) akan menggunakan sistem penyampaian aduan yang dikenali sebagai MySMS 15888 untuk memudahkan orang ramai membuat aduan berkaitan kes syariah.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata perkhidmatan aplikasi MySMS itu diperkenalkan bagi membantu menyebarkan maklumat serta memudahkan urusan orang ramai.

"Sistem tersebut merupakan medium penyampaian alternatif yang membolehkan tugasan dilaksanakan dengan kadar segera selain dapat menangani masalah kelewatan maklumat melalui surat dan mengurangkan tanggungan bil telefon yang agak tinggi.

"Melalui kaedah tersebut, segala maklumat berkaitan dengan bidang kuasa syariah termasuklah panggilan sesi penghakiman akan menjadi lebih mudah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri Ketiga Tahun 2014 dan Pelancaran Sistem Aduan MySMS di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, melalui sistem mySMS modul kaedah khidmat pesanan ringkas (SMS) Aduan mengunakan talian 15888, orang awam boleh secara mudah dan ringkas menyampaikan aduan terus kepada pihak Mahkamah Syariah Terengganu untuk diambil tindakan penyelesaian dalam kadar segera.

"Melalui mySMS modul Broadcast pula, Pembantu Hakim setiap dewan bicara Mahkamah Syariah Terengganu boleh menghantar notis tangguhan kes kepada pelanggan dengan pantas," katanya.

- Bernama