Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelbagai bantuan terus disalurkan untuk meringankan penderitaan mangsa banjir di negeri itu termasuk sumbangan tenaga lebih 1,500 Skuad Sukarelawan Negeri Terengganu (SSNT) yang digerakkan untuk membantu di kawasan terjejas banjir, terutama di Dungun dan Kemaman.

Pengerusi SSNT, Mohd Johari Abu Bakar berkata skuad yang ditubuhkan minggu lepas itu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan selepas banjir seperti membersihkan kawasan terjejas dan menyelaras sumbangan keperluan yang diperoleh daripada orang ramai.

"Kami mula berkampung di Dungun dan Kemaman sejak semalam selama seminggu untuk membantu memulihkan kawasan terjejas banjir dan diharap bantuan ini mampu melegakan kesedihan yang dihadapi mangsa banjir.

"SSNT ini terdiri daripada lebih 30 badan gabungan yang terdiri daripada pertubuhan belia, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Pemuda dan Puteri UMNO, Majlis Belia Negeri Terengganu, Gerakan Belia 4B (M) Negeri, Sahabat Belia, MAYC Terengganu dan Majlis Belia Daerah," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Selain pasukan pacuan empat roda dan kelab motor, SSNT turut melibatkan penyertaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC).

Agensi kerajaan seperti Jabatan Belia dan Sukan, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA), Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah turut serta dalam menggerakkan skuad itu.

Mohd Johari yang juga Ketua Pemuda Umno Negeri berkata skuad itu bersedia menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.

"Kami telah membuka bilik gerakan di Pejabat Belia dan Sukan Negeri di Pasir Panjang, Kuala Terengganu untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai, NGO dan syarikat korporat," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat memberi sumbangan boleh menghubungi Setiausaha SSNT Muhammad Rosdi Mat Zin di talian 013-9716585, Penolong Setiausaha SSNT (Tuan Azman Tuan Alias - 019-9519782) dan Urusetia SSNT (Laila Mat Daud – 013-9336044).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS