36 loji rawat air belum dapat operasi
Sebanyak 36 buah Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan dan Pahang masih belum dapat beroperasi ekoran banjir yang belum surut sepenuhnya.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata setakat ini hanya sembilan loji di kedua-dua negeri itu dapat dibaik pulih dan telah beroperasi semula.
"Di Kelantan, sebanyak 16 buah LRA daripada 24 buah loji yang terkesan akibat banjir belum dapat beroperasi dan ia menyebabkan sebanyak 91,100 akaun pengguna belum mendapat bekalan melalui air paip.
"Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), selaku operator air di Kelantan sedang berusaha membaik pulih baki LRA terbabit dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana beberapa lokasi pencawang TNB tidak dapat dimasuki kerana paras air belum surut," menurut kenyataan itu.
Span berkata AKSB menyediakan lapan buah lori tangki dan tangki statik bagi bekalan air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat pemindahan sementara.
Bagi negeri Pahang pula, sebanyak 16 daripada 21 buah loji yang terkesan akibat banjir belum dapat beroperasi menjejaskan 37,600 akaun pengguna.
Menurut Span, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), menyediakan 30 buah lori tangki dan tangki statik untuk bantuan air ke hospital dan pusat pemindahan sementara.
Span kini memantau rapi kedudukan bekalan air di negeri dilanda banjir dan mendapatkan kerjasama daripada operator air dari beberapa negeri untuk menghantar lori tangki ke kawasan terlibat.
Sehingga kini sebanyak sebelas buah lori tangki telah digerakkan iaitu dari Syarikat Air Johor, Syarikat Air Melaka, Syarikat Air Negeri Sembilan dan Syarikat Air Terengganu.
- Bernama

