Patung Buddha: Tindakan kerajaan PAS sebagai bukti
Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang didakwa cuba memusnahkan patung Buddha boleh dikaitkan dengan tindakan kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu memusnahkan patung penyu dan kijang, dakwa MCA Pahang.
"Sebagai buktinya, selepas kejatuhan Terengganu, mereka (kerajaan PAS) tidak sabar-sabar lagi untuk memusnahkan patung-patung penyu dan kijang di Kelantan," kata seorang pemimpin kanan Pemuda MCA, Liow Diong Lai, ketika membacakan kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 11 wakil rakyat MCA Pahang.
"Walau parti itu mendakwa tindakan ini (dasar-dasar Islam di dua negeri itu) adalah terhad kepada golongan Islam sahaja, tetapi hakikatnya bukan begitu, kerana patung penyu dan kijang itu adalah kepunyaan semua rakyat dan bukan kepunyaan golongan Islam," tambahnya lagi, dalam satu sidang akhbar di Wisma MCA hari ini.
Dalam satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang minggu lalu, Adun PAS kawasan Semantan, Idris Omar, didakwa pernah berkata parti itu berhasrat meruntuhkan patung Buddha jika mentadbir Pahang. Bagaimanapun Idris menafikan beliau mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Akhbar Sin Chew Jit Poh pada 3 Mei lalu melaporkan, semasa Adun MCA kawasan Indera Mahkota, Ti Lian Ker, membahas titah ucapan Sultan Pahang, beliau berkata ramai peniaga Cina berjaya dalam bisnes kerana mereka menyembah patung Kuan Kong yang mendukung keadilan.
Ti juga dilaporkan berkata, "Jikalau PAS memegang kuasa, (saya) percaya semua patung bukan Islam, termasuk nenek-moyang yang kita sembah akan turut dimusnahkan."
Kenyataan Ti itu dilaporkan mendapat jawapan balas Idris: "Menurut ajaran Islam, PAS mempunyai tanggungjawab memusnahkan patung bukan Islam."
Hari ini, seorang pemimpin Dewan Ulama PAS berkata patung-patung untuk acara agama bukan Islam di Kelantan dan Terengganu tidak dimusnahkan.
"Mereka (MCA) harus melihat apa yang telah dilakukan PAS di dua negeri itu. Patung agama tidak dimusnahkan dan ia membuktikan dakwaan Adun Indera Mahkota adalah berniat jahat," kata Kassim Yahya seperti dilaporkan oleh akhbar rasmi web parti itu, Harakahdaily.com .
Bagaimanapun Liow masih mempertikaikan kenyataan Adun PAS Pahang itu.
"Beliau (Idris) mendakwa bahawa rakaman kaset yang merekodkan kenyataan yang dikeluarkannya adalah palsu," katanya, merujuk rakaman kaset yang diperdengarkan kepada wartawan dalam satu sidang akhbarnya bersama Adun Indera Mahkota di Kuala Lumpur Sabtu lalu.
"Pada mulanya beliau (Idris) berkata tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu. Jadi kami gunakan rakaman kaset ini sebagai bukti. Bagaimana boleh rakaman kaset ini palsu, sedangkan semua yang direkod adalah benar."
Sementara itu seorang lagi Adun MCA, Law Kee Long, yang juga hadir hari ini berkata penyata rasmi sidang DUN Pahang yang menyebutkan kenyataan berhubung isu itu mungkin akan diperolehi esok.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.