AirAsia: Kami ada permit terbang 7 hari seminggu
NAHAS QZ8501
4.12pm: AirAsia Indonesia mempunyai permit untuk terbang dari Surabaya ke Singapura tujuh hari seminggu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes.
"Kami telah mendapat slot serta kelulusan dari Indonesia dan Singapura. Apa yang berlaku adalah semata-mata satu kesilapan pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mencadangkan Indonesia mengamalkan sistem berkomputer bersepadu seperti di Singapura "supaya semua orang sekata".
2pm: Empat puluh mayat dan serpihan pesawat telah dikutip di perairan Borneo, lapor Reuters.
Bagaimanapun, agensi berita itu berkata, angin kencang dan ombak tinggi menghalang penyelam sampai ke tempat kepingan lebih besar di dasar laut yang dipercayai rangka pesawat yang dikesan oleh sonar.
Bahagian ekor ditemui
1.36pm: Ekor pesawat di mana terletaknya kotak hitam, telah dijumpai di Laut Jawa, demikian disahkan oleh pasukan mencari dan menyelamat Indonesia, Bambang Soelitsyo.
"Kami telah berjaya mendapatkan sebahagian pesawat yang menjadi sasaran carian kami. Bahagian ekor telah disahkan dijumpai," katanya yang dipetik oleh ABC Australia.
1.07pm: Dua lagi mayat tiba di Surabaya untuk dikenal pasti, lapor Channel New Asia. Ini menjadikan jumlah mayat yang ditemui ialah 39.
Ia juga melaporkan sukarelawan hadir beramai-ramai di pusat krisis di sana, untuk menawarkan sokongan kepada keluarga mangsa.
Juruterbang kini dapat taklimat cuaca
12.15pm: Juruterbang AirAsia Indonesia kini diberi taklimat oleh pegawai operasi penerbangan mengenai keadaan cuaca, lapor CNN.
11.10am: Komunikasi bocor antara pengawal trafik udara Surabaya dan juruterbang QZ8501 menunjukkan Kawalan Trafik Udara (ATC) membenarkan penerbangan itu untuk berlepas, lapor Astro Awani.
Ini walaupun pegawai Indonesia berkata AirAsia Indonesia tidak mempunyai kebenaran untuk terbang laluan Surabaya-Singapura pada hari Ahad.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) mengesahkan bahawa jadual dari Surabaya menunjukkan penerbangan QZ8501 pada hari Ahad.
Dengar komunikasi bocor di sini .
10.10am: Objek sepanjang 17 metre di dasar laut yang disangka sebahagian daripada rangka pesawat AirAsia, adalah sebuah kapal lama, kata penyelam yang mengesahkan perkara itu, lapor detik.com.
Tujuh belas penyelam dan kenderaan kawalan jauh sampai ke objek itu di kedalaman 30 meter dan mendapati ia tiada kaitan dengan pesawat malang itu.
9.30am: Pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar nahas walaupun pelbagai andaian dibuat dan akan bergantung sepenuhnya kepada data dari kotak hitam itu, apabila ia ditemui, kata detik.com.
Semalam, Reuters melaporkan bahawa pegawai Indonesia berkata kotak hitam pesawat QZ8501 mungkin terbenam di dasar laut atau perairan berlumpur, menghalang pengesanan isyarat.
9am: Cuaca diramalkan kondusif untuk operasi mencari hari ini di lokasi nahas, kata jabatan metrologi, lapor detik.com . Sehingga hari ini, 39 mayat dijumpai dan 16 telah dikenal pasti.

