BERITA Malaysiakini

Ahmad Maslan: Bos baru 1MDB beragama Islam

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pelantikan Arul Kanda Kandasamy sebagai presiden baru dan pengarah eksekutif kumpulan syarikat milik kerajaan - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) -  menjadi perbualan panas di dunia korporat dan di kalangan media.

Sejak berita pelantikannya menerajui syarikat itu diumumkan, Arul kanda telah digambarkan sebagai seorang pakar dalam menyelamatkan perniagaan yang bermasalah.

Latar belakang pendidikannya yang mengagumkan dan kedudukan sebelumnya dalam pasaran kewangan London dan Abu Dhabi, turut menceritakan tentang kehebatan pengalaman dan kemampuannya.

Malah pembangkang pun mengakui pelantikan Arul berdasarkan kepada merit, dengan orang seperti Naib Presiden PKR Rafizi Ramli - pengkritik utama pengurusan 1MDB - menggambarkan Arul sebagai seorang yang pintar dan meyakinkan

Tetapi di tengah-tengah persekitaran itu, terdapat satu perkembangan menarik yang dilihat penting bagi Umno.

Apabila nama Arul Kanda disebut dan gambarnya disiarkan, terdapat cakap-cakap bahawa syarikat yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu, kini diletakkan di tangan seorang bukan Melayu untuk dipulihkan.

Arul menggantikan ketua pegawai eksekutif Melayu, iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman, yang telah meletak jawatan.

Mungkin kebimbangan ini dapat menjelaskan kapsyen yang mengiringi gambar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Arul Kanda di akaun Twitter ketua penerangan Umno itu.

Dalam kapsyennya  Ahmad Maslan menulis bahawa beliau telah bertemu Arul di pejabatnya petang ini.

Beliau mendedahkan bahawa bos baru 1MDB itu berusia 38, berasal dari Kuala Lumpur dan mengakhiri kapsyen itu dengan perkataan "beragama Islam".

Bersama Arul Kanda, 38 thn, Group President 1MDB di pej saya ptg ini. Berasal dari KL,1979-86 di KB, beragama Islam. pic.twitter.com/pkA2ZhUOtl

— Ahmad Maslan (@ahmadmaslan) January 7, 2015

Kapsyen itu menarik perhatian tentang keperluan untuk menyebut agama Arul. Namun posting ini mungkin lebih mengenai politik daripada perniagaan.

[Baca berita penuh/asal]