DAP mempersoalkan kewajaran tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa melakukan perkara sama terhadap kerusi parlimen.
Anggota parlimen Serdang Ong Kian Ming ( bawah ) berkata oleh kerana peningkatan jumlah yang layak mengundi dijadikan alasan untuk menambahkan kerusi DUN, perkara sama harus berlaku di peringkat parlimen.
Beliau membangkitkan sama ada ia tidak dilakukan kerana BN tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat untuk menambah kerusi parlimen.
“Jika kerusi parlimen baru dicadangkan, amalan persempadanan semula di seluruh Sarawak mungkin tertangguh kerana tersangkut di peringkat parlimen,” katanya.
SPR pada Rabu mencadangkan untuk menambah 11 kerusi DUN di Sarawak daripada 71 pada masa sekarang kepada 82 kerusi.
