Pengguna kena bayar tol walaupun tidak guna NPE
Penduduk yang terjejas dengan Tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula keputusannya tidak akan mengkaji semula kadar kutipan tol di NPE yang didakwa mereka tidak munasabah.
Penduduk yang terjejas dengan Tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula keputusannya tidak akan mengkaji semula kadar kutipan tol di NPE yang didakwa mereka tidak munasabah.
Dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini, mereka menggesa supaya kadar tol di plaza tol Pantai Dalam dan plaza tol PJS 5 dikurangkan daripada RM1.60 kepada RM1.
Manakala plaza tol Taman Medan pula, menurut mereka, hendaklah dimansuhkan kerana ianya dibina di atas jalan Kelang Lama yang bukannya sebahagian daripada NPE.
NPE mempunyai tiga plaza iaitu Plaza Tol Taman Medan (di pertengahan NPE), NPE mempunyai dua lagi plaza tol iaitu Plaza Tol di Pantai Dalam (dekat Kuala Lumpur) dan Plaza Tol PJS 5(berhampiran Subang Jaya).
Memorandum yang ditandatangani oleh penasihat Jawatankuasa Tindakan DAP "Bantah Tol NPE", Ong Chee Keng tersebut telah diserahkan kepada Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Azhar Osman di Putraja pagi ini.
Turut sama ialah pengerusi jawatan tersebut, Ean Yong Hian Wah, setiausahanya John Chung dan ahli jawatankuasanya Daniel Chong.
Menurut Ong yang juga Pengerusi DAP Selangor, penduduk juga mahu kerajaan mengumumkan kepada awam kos sebenar pembinaan NPE, sejajar dengan prinsip bertanggungjawaban dan ketelusan kerajaan.
Terjejas
Katanya, sebelum ini, ahli-ahli Parlimen DAP bersama-sama wakil jawatankuasa terserbut telah menyerahkan memorandum ringkas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 14 Jun lalu.
Katanya, memorandum itu dihantar bersama senarai tandatangan 10,023 penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas dengan tol NPE bagi menyuarakan rasa tidak puashati mereka terhadap kadar tol yang tinggi.
"Akan tetapi, selepas itu, Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengkaji semula kadar tol NPE. Justeru itu, kami berharap Perdana Menteri boleh menanggani masalah ini secara peribadi demi kepentingan dan kebajikan pengguna NPE dan kawasan berhampiran," katanya dalam memorandum tersebut.
Menurut memorandum tersebut, kadar tol NPE amat tinggi dan tidak munasabah kerana pemandu kenderaan dari Subang Jaya ke Bangsar dan sebaliknya perlu membayar RM3.20 walaupun jaraknya hanya 19.6 km, sedangkan kadar tol dari Nilai-Seremban sejauh 22.5 km hanya RM2.80.
Mengenai plaza tol Taman Medan, memorandum itu mendakwa ianya dibina di atas jalan asal, iaitu jalan Kelang Lama yang bukannya sebahagian daripada NPE.
"Ini amat tidak adil kepada pengguna-pengguna jalan Kelang Lama yang tidak menggunakan NPE tetapi masih terpaksa membayar tol RM1.60 sewaktu pergi dan balik daripada kerja.
Jejambat
"Plaza tol Taman Medan ini sangat membebankan penduduk di kawasan berhampiran, iaitu Taman Datuk Harun, Taman Medah, Taman Sri Manja di mana kebanyakan penduduknya ialah golongan berpendapatan rendah," demikian menurut memorandum itu lagi.
Sehingga ini, menurut memorandum itu, laluan alternatif bebas tol yang dijanjikan kepada penduduk di kawasan terbabit masih belum di mana, walaupun ia sepatutnya dibina sebelum NPE dibenarkan beroperasi.
Malah, menurutnya, tempoh konsesi NPE akan dipanjangkan pula selama tiga setengah tahun lagi berikutan pembinaan tambahan termasuk jejambat baru tersebut.
"Ini bermakna tempoh kutipan tol akan dipanjang daripada 30 tahun sebelum ini kepada tiga puluh tiga setengah tahun. Persoalannya mengapakah kerja pembinaan tambahan ini tidak dilakukan semasa pembinaan NPE?" tambah memorandum tersebut.
Oleh itu, katanya, kerajaan perlu meminta pemegang konsesi NEP - NPE Sdn Bhd - supaya mengumumkan kepada awam perjanjian konsesi NPE dan menjelaskan secara terperinci jumlah RM1.3 bilion yang telah dibelanjakan untuk pembinaan lebuhraya tersebut.
"Ini adalah sangat penting kerana infrastruktur tersebut membabitkan rakyat dan rakyat berhak tahu sama ada pembinaan NPE sebenarnya memerlukan perbelanjaan yang sebegitu tinggi," tambah memorandum tersebut.

