Mahkamah Persekutuan tolak rayuan kes murtad
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan oleh empat individu yang telah mengaku meninggalkan Islam pada tahun 1988 untuk mendapat pengisytiharan mahkamah bahawa mereka mempunyai hak dan kebebasan untuk menganut agama pilihan mereka.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan oleh empat individu yang telah mengaku meninggalkan Islam pada tahun 1988 untuk mendapat pengisytiharan mahkamah bahawa mereka mempunyai hak dan kebebasan untuk menganut agama pilihan mereka.
Keempat-empatnya Daud Mamat, 62, Kamariah Ali, 51, suaminya Mohamad Ya, 57 (sudah meninggal dunia)) dan Mad Yacob Ismail, 62 juga memohon mendapatkan pengisytiharan mahkamah yang Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka kerana mereka sudah meninggalkan Islam.
Mereka juga memohon untuk mendapatkan habeas corpus supaya dibebaskan dari Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan di mana mereka menjalani hukuman tiga tahun penjara kerana bersalah menghina mahkmah pada bulan November 2000.
(Mereka kesemuanya telah dibebaskan pada bulan November 2002 selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman tersebut).
Keputusan tersebut dibaca Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azimah Omar. Mahkamah tersebut telah menangguhkan keputusannya pada 13 November lalu, berhubung kes ini.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Hakim Datuk Pajan Singh Gill, Hakim Datuk Rahmah Hussain dan Hakim Datuk Richard Malanjum sebulat suara menolak tiga isu yang dikemukakan oleh pihak perayu. Hakim kelima yang turut mendengar keas tersebut, Hakim Mohd Noor Ahmad, telah bersara pada 19 Mei lalu.
Dalam reaksinya terhadap keputusan mahkamah tersebut, peguam perayu, Haris Mohamed Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan tersebut.
Menurutnya, pihak mahkamah gagal menjelaskan undang-undang berhubung tindakan seseorang meninggalkan agama anutannya.
Keputusan kehakiman
Dengan itu, katanya, undang-undang tersebut akan terus kekal tidak menentu sebagaimana keadaannya sekarang.
Berikutan itu, kata beliau, pihaknya akan menfailkan kes-kes lain yang juga menunggu keputusan kehakiman yang sama.
Menurut Haris lagi, beliau perlu berbincang dengan pelanggannya mengenai tindakan seterusnya memandangkan taraf agama mereka kini tidak jelas.
Ketiga-tiga perayu berkenaan juga menyuarakan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan tersebut, tetapi menjelaskan bahawa mereka tetap dengan keputusan mereka meninggalkan Islam.
"Saya tidak puashati dengan keputusan mahkamah tetapi ia tidak akan menghalang perjuangan saya ke arah kebebasan untuk menganut agama pilihan saya," kata Daud (
gambar
). Manakala Mad Yacob pula berkata, beliau sedih dengan keputusan mahkamah tersebut.
"Ia gagal memberi hak kami. Kami bertiga tidak mahu lagi menganut Islam. Saya perlu berbincang dengan peguam saya mengenai alternatif yang ada pada kami...jika masih ada kuasa yang lebih tinggi untuk kami rujuk," katanya.
Kamariah, isteri kepada Mohamad Ya, tidak dapat berkata apa-apa kecuali matanya bergenang dengan air mata.
Dalam keputusannya, mahkamah memutuskan bahawa tindakan perayu membuat akuan berkanun dan mengisytiharkan bukan lagi menganut agama Islam, tidak dengan sendirinya, melepaskan mereka daripada pertuduhan yang mereka hadapi di Mahkamah Syariah.
Bidangkuasa
Dengan mengambil pendekatan maksud ini, mahkamah berpendapat masa yang material untuk menentukan sama ada perayu penganut Islam adalah ketika sewaktu mereka melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Oleh itu, menurut mahkamah, walaupun perayu telah mengisytiharkan mereka murtad pada 1998, mereka layak dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada 2000 kerana ia berkaitan dengan kesalahan yang telah mereka ketika masih beragama Islam.
Menurut mahkamah lagi, jika pendekatan maksud ini tidak diambil, maka orang Islam yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Syariah, boleh menggunakan pembelaan yang mereka bukan lagi Islam dan dengan itu, tidak tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Keadaan sebegini, katanya, akan menjejaskan pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia dan mungkin juga undang-undang agama lain.
Oleh itu, kata hakim-hakim tersebut, berdasarkan ketaakulan dan pendekatan yang mereka ambil itu, maka nyatalah bahawa soal atau isu perayu berhak keluar dari agama Islam, adalah tidak relevan.
Mereka juga bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa tugas mahkamah adalah untuk memutuskan kes yang dibicarakan di hadapannya, berasaskan kepada fakta yang dikemukakan, dan bersetuju dengan penghakiman Lord Bridge dalam kes Ainsbury mln Millington (1987), iaitu:
"Ia telah menjadi ciri-ciri fundamental dalam sistem kehakiman kita bahawa pihak Mahkamah menghakimi pertikaian antara pihak-pihak di hadapannya; mahkamah tidak memberi pendapat mengenai persoalan undang-undang abstrak apabila tiada terdapat pertikaian yang hendak diselesaikan".
Mahkamah juga memetik penghakiman majoriti dalam kes Raphael Pura mln Insas Berhad & Anor (2003) bahawa"mahkamah ini memutuskan tidak menjawab soalan yang dikemukakan walaupun kebenaran untuk merayu di atas soalan tersebut, telah diberikan.
"Berpandukan fakta di hadapan mahkamah ini, kami sebulat suara berpendapat ketiga-tiga soalan tersebut tidak perlu dijawab walaupun kebenaran untuk merayu di atas soalan-soalan tersebut telah diberikan oleh mahkamah ini.
"Justeru itu, rayuan perayu-perayu adalah dengan ini ditolak dengan kos," kata mereka.

