Didenda RM3,000 rosakkan patung tokong
Akibat merosakkan dua patung berhala dan beberapa peralatan sembahyang di sebuah tokong di Bukit Mertajam, seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu, dua minggu lepas.
Hakim M. Vijayalakshmi turut memerintahkan Mohd Firdaus Said, 29, menjalani hukuman penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda itu.
Mohd Firdaus didakwa merosakkan dua patung Kwan Ying, tempat bekas abu colok dan bekas lilin di tokong Buddha Nam Kuat dengan niat hendak mengaibkan agama Buddha.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan itu di Wat Chantararam Thai Buddist Temple di Jalan Tanah Liat, Bukit Mertajam dekat Bukit Mertajam pada jam 10.10 pagi, 2 Januari lepas.
Mohd Firdaus didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Mohd Firdaus dalam rayuannya memohon mahkamah membebaskannya dengan pengawasan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Kim.
- Bernama

