Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBKL: Rusa rosakkan pokok di Taman Botani
Diterbitkan:  Jan 13, 2015 4:58 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

DBKL: Rusa rosakkan pokok di Taman Botani

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk menghentikan operasi Taman Rusa yang terletak di dalam kawasan Taman Botani Perdana, sebagai langkah menaik taraf taman rekreasi itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata proses menamatkan operasi Taman Rusa yang dibangunkan pada 1980-an itu akan dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata rancangan untuk menutup Taman Rusa itu juga berikutan beberapa pokok berusia lebih 50 tahun mati dan rosak disebabkan haiwan tersebut.

"Rusa tidak sesuai lagi, bila hendak asah tanduk, haiwan itu akan ke pokok-pokok dan kikis pokok itu, itu yang menyebabkan pokok semua rosak, sebab itu saya buat keputusan untuk keluarkan semua rusa ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembentukan Kerjasama Taman Botani.

Ahmad Phesal berkata kesemua 52 ekor rusa itu mungkin akan diberi kepada pihak universiti tempatan untuk tujuan penyelidikan dan penternakan, bagaimanapun, kandang kancil di dalam Taman Rusa itu akan terus dikekalkan.

Beliau berkata DBKL mungkin akan membangunkan 'Pusat Spesies Tumbuhan Yang Jarang Ditemui' di tapak Taman Rusa itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS