Harga sayur-sayuran kembali stabil di pasaran setelah berlaku kenaikan ekoran tindakan segelintir mengambil kesempatan menggunakan alasan musibah banjir di Pantai Timur.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata kawasan tanaman sayur-sayuran yang terjejas akibat banjir hanya 10 hingga 20 peratus, oleh itu ini tidak harus dikaitkan dengan kenaikan harga sayur-sayuran secara mendadak.

"Kini, keadaan pasaran pun sudah pulih dan harga sayur-sayuran mulai stabil.

"Harga sayuran berdaun seperti kangkung, bayam, dan sawi serta cili yang agak tinggi mulai stabil. Contohnya, harga sawi adalah RM5 atau RM6 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abd Rahim Bakri ke Pusat Operasi Banjir FAMA Dengkil.

Ahmad berkata 67 lokasi di 51 kawasan di negeri-negeri dilanda banjir telah dikenalpasti untuk mewujudkan Pasar Tani Khas Pasca Banjir mulai bulan ini.

Katanya, pasar tani khas itu menawarkan lima kategori barangan iaitu sayur-sayuran, ayam, ikan, telur dan beras dengan harga antara 20 hingga 50 peratus lebih rendah daripada pasaran.

Selain itu, katanya, produk Agromas seperti sardin, kopi dan mee segera turut ditawarkan pada harga istimewa, iaitu lima hingga 10 peratus lebih rendah.

Peserta yang terlibat dalam pasar tani khas itu terdiri daripada agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani iaitu FAMA, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas), katanya.

“Kalau usahawan dan peniaga lain berminat untuk menyertai pasar tani khas ini amat digalakkan dengan syarat menawarkan harga diskaun,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahim berkata lebih ramai pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dikerah untuk terlibat dalam bantuan pasca banjir, termasuk kerja-kerja pembersihan dan juga membantu dalam kerja-kerja membungkus makanan di Pusat Operasi FAMA.

Kira-kira 300 pelatih PLKN dari Kem Paya Indah Wetlands, Kem Princess Haliza Sepang dan Kem PLKN Jugra Banting terlibat membantu membungkus makanan.   

- Bernama