Setiausaha politik Pak Lah menang di Kuala Terengganu
Mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuala Terengganu malam tadi dianggap sebagai antara yang menarik di Terengganu, yang menyaksikan ketua penajanya Datuk Roslan Awang Chik tewas kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuala Terengganu malam tadi dianggap sebagai antara yang menarik di Terengganu, yang menyaksikan ketua penajanya Datuk Roslan Awang Chik tewas kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Roslan yang juga Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia terpaksa akur kepada timbalannya, Wan Ahmad Farid yang juga ahli exco Pemuda Umno pusat.
Mesyuarat perwakilan tersebut berlangsung di Sekolah Menengah Padang Negara di Kuala Terengganu di mana Wan Farid menang dengan majoriti 167 undi.
Menurut Bernama , Wan Ahmad Farid yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri menang dengan majoriti 126 undi selepas memperolehi 293 undi pada pemilihan yang dihadiri 469 perwakilan itu.
Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Che Mat Jusoh yang meraih 252 undi pula dipilih untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian setelah menewaskan pencabarnya Abdul Latiff Mohd yang mendapat 193 undi.
Hamzah Mohd Zain pula mengekalkan jawatannya sebagai Naib Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu apabila menang tanpa bertanding.
Sementara itu, perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan tertinggi parti September ini.
Umno bahagian itu yang merupakan bahagian terakhir di Terengganu mengadakan persidangan perwakilannya turut mencalonkan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohamed Isa Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed untuk bertanding jawatan naib presiden.
Kembali bersatu
Sementara itu, pergerakan Pemuda Umno bahagian Kubang Kerian mengajak kedua-dua kumpulan yang bertelagah pada pemilihan di bahagian itu baru-baru ini supaya kembali bersatu dan memberi tumpuan kepada tugas parti.
Ketuanya, Anuar Safian berkata tiada gunanya bermusuhan dan perbalahan kerana ia akan memberi peluang kepada musuh parti untuk memusnahkan perpaduan sedia ada.
"Kita tidak nampak ia memberi kebaikan kepada parti, dengan perpecahan, Umno akan lemah," katanya ketika diminta mengulas persidangan ulangan Umno bahagian itu selepas pembatalan persidangan pertama dua hari lalu.
Anuar berkata, sekarang adalah masa untuk bekerja dan menyahut cabaran pucuk pimpinan supaya matlamat perjuangan direalisasikan sepenuhnya mengikut agenda yang ditetapkan.
"Sekiranya masih ada perasaan hasad dan dengki antara satu sama lain, usaha untuk melahirkan sebuah masyarakat madani tidak kesampaian. Marilah kita kembali bekerja dan merealisasikan hasrat kerajaan dan Umno untuk membentuk Islam Hadhari yang sebenar," katanya.
Persidangan perwakilan Umno bahagian Kubang Kerian pada 21 Julai lalu dibatalkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno dan persidangan ulangan dijalankan semalam.
Pada persidangan itu, ketua penaja bahagian itu Datuk Ahmad Rusli Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian setelah pencabarnya Mohd Fauzi Ismail dan Tuan Hashim Tuan Yaacob tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.
Menurut Anuar percanggahan seperti itu tidak sepatutnya dijadikan asas untuk terus bertelagah sebaliknya kembali bersatu dan menumpukan kerja kepada dasar dan perjuangan parti.
"Perjuangan kita belum selesai, marilah kita kembali bekerja dan bersatu semula," katanya.

