Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu menyifatkan sebagai 'tidak munasabah' penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut Pengerusinya Tan Sri Dr Arshad Ayub, keputusan itu bukanlah cara terbaik bagi meningkatkan penguasaaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, terutamanya pelajar Melayu di IPTA.

"Saya merasa hairan dan terperanjat dengan keputusan yang diumumkan oleh Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Prof Datuk Mohd Zohadie Bardaie untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi semua kursus kecuali Kesusasteraan Melayu, Peradaban Islam dan Pendidikan Sivik baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Bernama , badan tersebut turut mempersoalkan keputusan itu kerana mengikut Akta Pendidikan 1961 dan 1996, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Dr Arshad menegaskan bahawa perubahan penggunaan bahasa pengantar, daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris di IPTA, bukanlah cara terbaik.

Sebaliknya, beliau yang juga bekas Pengarah Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata pengajaran bahasa Inggeris di sekolah hendaklah diperbaiki.

Bahasa tambahan

"Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib di sekolah tetapi masih ramai yang lemah walaupun telah diajar selama sebelas tahun. Masalah inilah yang perlu diberi perhatian," katanya.

Menurutnya lagi, negara maju seperti Jepun, China dan Jerman tidak mengenepikan bahasa ibunda mereka dengan menggunakan bahasa asing dalam sistem pendidikan.

Sebaliknya kata Dr Arshad, mereka mempelajari bahasa asing iaitu sebagai bahasa tambahan atau bahasa kedua.

Beliau juga berpendapat kegagalan siswazah mendapatkan kerja bukan kerana lemah berbahasa Inggeris tetapi pasaran pekerjaan sentiasa terhad dan tidak mampu menyerap ratusan ribu graduan setiap tahun.

Menurutnya lagi, siswazah berkelulusan bahasa Inggeris dari universiti luar negara termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Australia juga menganggur.

"Pelajar-pelajar mampu menjadi cemerlang dalam apa juga bidang ilmu jika ia diajar dalam bahasa yang mereka fahami iaitu bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris." katanya.