'Kuat kuasa SOP buka tanah untuk elak banjir'
Kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard sebelum membenarkan kerja pembangunan tanah termasuk pembukaan hutan untuk pertanian.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Jamawi Jaafar berkata pembangunan tanah itu mungkin antara faktor berlakunya banjir teruk melanda negeri Pantai Timur yang menyebabkan banyak kemusnahan terutama di Kelantan.
"Pembukaan tanah bagi tujuan pertanian ketika ini memang jauh daripada peraturan yang dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir di Kampung Star di Gua Musang, hari ini.
Jamawi berkata banjir kali ini amat luar biasa kerana ia bukan sahaja memusnahkan rumah dan harta benda malah meninggalkan kesan trauma jangka panjang kepada mangsa.
"Saya yang berpengalaman sebagai pegawai pertanian selama 14 tahun juga berharap banjir besar yang berlaku ini dijadikan iktibar oleh semua negeri supaya aktiviti pertanian dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
Katanya kawasan hutan yang telah diteroka perlu dilakukan pemuliharaan semula dengan menanam pokok atau tumbuhan kacang penutup bumi supaya struktur tanah terpelihara.
Beliau berkata selain mengagihkan bantuan barangan keperluan pasca banjir, Pemuda Umno juga ke kawasan pedalaman bagi memberi motivasi kepada mangsa.
- Bernama

