ISA: Dua bulan atau 2 tahun?
Berapa lama 10 aktivis reformasi yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dikurung - dua bulan sahaja untuk siasatan atau dikirim ke kem Kemunting, Perak?
"Tidak akan kena dua tahun," kata seorang bekas tahanan ISA. "Sampai sahaja di sana, makin kuat kita rasa nak lawan kerajaan." Hujahnya, kehidupan di sana lebih banyak rehat dan seseorang yang ditahan akan lebih mudah berfikir untuk meneguhkan pendiriannya bagi menentang kezaliman kerajaan.
Beliau, yang pernah dua kali berkurung di Kem Kemunting, berhujah hanya tempoh siasatan selama 60 hari pertama yang menyeksakan jiwa dan minda. Tekanan siasatan itu jarang berjaya ditempuhi oleh tahanan.
"Jika seseorang tidak teguh, kerjaya politik dan peribadinya boleh musnah," katanya lagi. "Tetapi lihat mereka (bekas tahanan) di Kem Kemunting, mereka kini semuanya pengkritik dan penentang kerajaan yang berani."
( Nota: Terdapat beberapa langkah yang digunakan pihak berwajib untuk memusnahkan keperibadian seseorang, kerjayanya dan pergerakan politik selepas dibebaskan daripada siasatan 60 hari - berbanding dihantar ke kem tahanan lanjutan - tetapi tidak dapat disiarkan di sini untuk tidak menyinggung beberapa pihak - penulis)
Semalam genap 30 hari lima aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional dikurung ISA. Sementara dua lagi yang ditahan 11 April lalu mencukupkan hari ke-30 mereka pada hari ini.
Lima daripada 10 orang itu telah dibenarkan lawatan keluarga, bermula 3 Mei lalu. Sementara lima lagi masih tidak menerima sebarang maklumat walau telah berkali-kali menghubungi ibu pejabat polis di Bukit Aman.
Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor pernah membayangkan bakal dipindahkan ke kem tahanan lanjutan di Perak, beritahu isterinya Bahirah Tajul Aris kepada malaysiakini awal minggu ini.
Sementara pengerusi jawatankuasa 'Gerakan Mansuhkan ISA' tidak menolak kemungkinan mereka ditahan selama dua tahun selepas selesai siasatan selama dua bulan.
"Kerana mereka telah ditahan selama 30 hari, kebimbangan utama kami adalah mereka akan ditahan selama dua tahun atau lebih lama," kata Zaid Kamaruddin kepada media semalam.
'Telah bekerjasama'
Pengalaman tahanan ISA kumpulan reformasi pada 1998 menunjukkan paling lama seseorang itu disiasat sebelum dibenarkan lawatan keluarga sekitar 30 hari dan mereka dibebaskan menjelang hari ke 60. Mereka adalah Abd Malek Hussin, Ruslan Kassim dan Lokman Noor Adam (kini sekali lagi ditahan pada 24 April lalu dan dibenarkan lawatan 8 Mei).
Hampir 30 orang aktivis reformasi, termasuk pengasasnya Anwar Ibrahim, ditahan di bawah akta zalim itu dalam dua siri tangkapan antara 20 September hingga pertengahan November. Sementara beratus-ratus lagi penyokong gerakan itu ditangkap, dibelasah polis dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan 'berhimpun secara haram.'
Sementara Naib Presiden Keadilan Tian Chua - yang sering dibelasah polis sejak tiga tahun lalu - aktivis Pemuda N Gobalakrishan dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais belum menerima sebarang isyarat lawatan walau ditahan selama 31 hari.
Tempoh lawatan ini dijadikan semacam 'ukuran' untuk menentukan berapa pejal hati seseorang menempuh tekanan siasatan dan jumlah hari yang diperlukan untuk mencungkil semua rahsia pergerakan politiknya.
Seseorang yang dibenarkan lawatan awal sering digambarkan 'telah bekerjasama' atau 'selesai siasatan'; sementara yang ditahan lebih panjang dianggap lebih kukuh pendiriannya atau banyak menyimpan maklumat.
Bagaimanapun ukuran ini tidaklah sepenuhnya tepat - lagipun polis Cawangan Khas (SB) yang mengendalikan isu ini selalunya tidak mudah memberikan isyarat terbuka dan berterus-terang; semuanya ada helah.
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini

