Najib umum strategi 'penyesuaian'
Berikut ialah intipati Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
* Persekitaran/percaturan ekonomi dunia telah berubah. Ini memberi impak kepada Malaysia, antara negara mempunyai dagangan terbesar di dunia.
* Beberapa perkara pokok yang kerajaan unjurkan bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.
* Sebagai kerajaan bertanggungjawab, akan terus mencari jalan mempastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin.
* Kerajaan akan ambil langkah proaktif untuk buat pengubahsuaian spesifik, seiring dengan perubahan senario ekonomi global
* Dengan pengurangan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 35 sen dan 30 sen, pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat Malaysia secara kasarnya sekitar RM7.5 bilion.
* Kerajaan perlu semak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak kepada US$55 setong bagi 2015.
* Pada harga US$55 setong yang diunjurkan, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.
* Sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat jimat RM10.7 bilion, kerajaan masih alami kekurangan hasil sebanyak RM8.2 bilion bagi tampung langkah-langkah Bajet 2015.
* Kerajaan tetapkan kadar defisit dikaji semula kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2015.
* Kerajaan tidak berkompromi ke atas perancangan pembangunan kerana ia akan meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara.
* Kerajaan tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah bawah 40 peratus.
* Turun-naik nilai matawang asasnya berdasarkan pengaruh ekonomi global dan Ringgit bukan satu-satunya yang menyusut berbanding dolar Amerika.
* Kerajaan perlu pastikan akaun semasa dalam imbangan pembayaran sentiasa kekal dalam lebihan.
* Kerajaan teruskan langkah-langkah reformasi fiskal dan menyepadukan (consolidate) ekonomi.
* Kerajaan pastikan aktiviti ekonomi terus dipelbagaikan supaya negara mampu hadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi.
* Kerajaan yakin kadar tukaran Ringgit akan alami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh.
* Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan (financial intermediation) dengan aktiviti pinjaman kekal lancar.
* Aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaian kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.
* Polisi lebih dinamik, rizab antarabangsa mencukupi, pasaran kewangan pelbagai dan mendalam, perbankan teguh serta pelabur institusi tempatan kukuh akan tingkatkan daya tahan Malaysia untuk turun naik aliran modal.
* Tanggapan apabila harga minyak merudum baru-baru ini, pendapatan eksport keseluruhan akan merosot dan mengakibatkan defisit akaun semasa adalah tidak benar.
* Malaysia pengeksport bersih minyak mentah dengan nilai lebihan eksport sebanyak RM7.7 bilion untuk tempoh Januari-November 2014.
* Bagi produk petroleum, Malaysia adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak RM8.9 untuk tempoh Januari-November 2014.
* Tanggapan atau persepsi umum selama ini bahawa Malaysia merupakan pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan adalah tidak benar.
* Kesan kejatuhan harga minyak dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan seperti barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan dan produk tekstil.
* Malaysia mampu capai Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini.
* Kerajaan akan pastikan pertumbuhan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan.
* Kerajaan akan menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi bina semula infrastruktur terjejas akibat banjir.
* Perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional dipromosi secara aktif bagi kurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
* Terminal keretapi Padang Besar dinaik taraf dan kecekapan proses import dan eksport di tambah baik.
* Visa diberi secara percuma kepada pelancong antaranya dari China.
* Kadar levi pekerja-pekerja asing dikaji semula.
* Kontraktor tempatan kelas G1 (kelas F), G2 (kelas E) dan G3 (kelas D) yang berdaftar dengan CIDB diberi keutamaan laksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan terjejas banjir.
* Promosi pembelian barangan buatan Malaysia dipergiatkan
* Meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara.
* Promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang penerbangan yang kompetitif dipergiatkan.
* Galakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN.
* Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan ditubuhkan, dengan pembiayaan maksimum RM5 juta dan jaminan kerajaan sebanyak 70 peratus.
* Menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Pelaburan (GLIC) melabur dalam negara.
* Cadangan kenaikan tarif elektrif pada 2015 ditangguhkan, dan cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada tahun ini juga ditangguhkan.
* Penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan kerajaan dipergiatkan
* Meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat berdaftar dengan Jabatan Kastam diRaja Malaysia bagi meningkatkan hasil daripada kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).
* Sehingga pertengahan Januari 2015, lebih 304,000 syarikat telah berdaftar untuk GST.
* Meningkatkan kutipan dividen daripada GLC & GLIC serta badan-badan kerajaan yang lain yang dapat menyumbang tambahan hasil sebanyak RM400 juta
* Mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional yang memberi penjimatan RM1.6 bilion.
* Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2015 ditangguhkan dengan penjimatan sebanyak RM400 juta bagi membolehkan program dikaji semula dan ditambah baik.
* Kajian semula pemberian dan geran kepada badan berkanun persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab tinggi, langkah yang memberi penjimatan sebanyak RM3.2 bilion.
* Menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak RM300 juta.
* Banjir baru-baru ini melibatkan sekitar 400,000 mangsa di seluruh negara.
* Anggaran terkini mengenai kemusnahan infrastruktur akibat banjir di seluruh negara baru-baru ini mencecah hampir RM2.9 bilion.
* Kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta sebagai bantuan permulaan (initial allocation) untuk kerja-kerja baik pulih dan program kebajikan mangsa banjir.
* Peruntukan keseluruhan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara untuk kerja-kerja baik pulih dan program kebajikan mangsa banjir berjumlah RM787 juta.
* Kerajaan menyediakan peruntukan awalan sebanyak RM800 juta untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan yang terjejas akibat banjir.
* Sebanyak RM893 juta disediakan bagi Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir.
* Rumah-rumah kampung bertiang (stilt houses) setinggi 8 kaki yang telah musnah akibat banjir akan dibina bagi mereka yang mempunyai tanah sendiri.
* Sebanyak 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang diserahkan kepada mangsa banjir.
* Bantuan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga yang terlibat banjir dan sumbangan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.
* Tambahan RM100 juta disediakan kepada TEKUN dan RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS serta perusahaan mikro yang terjejas banjir.
* BSN, Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam bulan kepada perniagaan yang terjejas banjir.
* Bank Negara akan menubuhkan Special Relief Facility berjumlah RM500 juta untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar 2.25 peratus dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan.
* Bank Rakyat menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga RM50 ribu pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus untuk penduduk terjejas banjir dan bayaran balik pinjaman selepas enam bulan daripada tarikh pengeluaran.
* Sebanyak RM500 juta disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim diuruskan oleh ProKhas.
* Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk tempoh enam bulan bagi PKS yang terjejas banjir berkuat kuasa 1 Feb 2015.
* Malaysia bukan dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan.
* Strategi-strategi kerajaan adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian berikutan faktor luaran yang di luar kawalan.
* Akaun semasa dalam imbangan pembayaran dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit
* Pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh.
* Matawang ringgit akan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh.
* Perbelanjaan Pembangunan yang diperuntukkan sebanyak RM48.5 bilion tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.
* Projek-projek MRT jajaran kedua, LRT3, High Speed Rail Kuala
Lumpur-Singapura dan Rapid Pengerang akan tetap diteruskan
* Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dibentangkan pada bulan Mei bagi merencanakan perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020
* Perbelanjaan Mengurus dijangka dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.

