Komen biasa sahaja: 'Harakah'
Dua saksi pendakwa dalam perbicaraan pengarang Harakah , Zulkifli Sulong, hari ini berkata rencana yang diterbitkan itu tidak bertujuan menghasut. Pengarah Urusan akhbar itu, Datuk Hishamuddin Yahya, dan seorang pengarangnya, Abdul Shukor Haron, menyifatkannya sebagai "luahan perasaan penulis" dan "komen biasa."
Hishamuddin sebagai saksi pertama berkata, rencana itu "tidak lebih daripada luahan perasaan penulis" apabila ditanya peguam bela Zamani Ibrahim.
Tambah Hishamuddin, rencana itu tidak bertujuan membina satu keadaan agar rakyat membenci kerajaan. Perenggan terakhir yang dituduh menghasut itu bukannya satu kesimpulan tetapi "nampak sebagai terasing."
Sementara Shukor berkata tulisan itu sebagai "komen peribadi (Presiden Parti KeADILan Nasional) Dr Chandra (Muzaffar)" dan ia tidak menyeru orang lain untuk mempercayainya.
"Jadi, saya fikir ia sebagai komen biasa sahaja," katanya, memberikan keterangan selepas Hishamuddin.
Mereka berdua memberikan keterangan dalam perbicaraan terhadap Zulkifli yang dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 ekoran satu rencana bertajuk "Liputan Pengakuan Sukma Hina dan Jahat - Dr. Chandra" yang diterbitkan pada 2 Ogos tahun lalu.
Rencana yang disiarkan pada halaman 40 itu antara kandungannya, "Adalah memalukan bahawa elemen-elemen dalam pasukan polis, Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan media bersedia diperalatkan dalam konspirasi terbesar yang dirancang oleh Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan konco-konconya, ujar beliau".
Apabila disoal Penolong Pendakwa Raya, Abdul Rahman Redza tentang permit, Hishamuddin menjawab Kementerian Dalam Negeri membenarkan akhbar itu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Beliau menunjukkan dua salinan permit asal pada sesi sebelah petang apabila diarah oleh mahkamah, selepas beliau membantah kenyataan pendakwa bahawa permit akhbar itu hanya untuk terbitan berbahasa Malaysia ketika disoal pada sebelah pagi.
Permit itu bertarikh 1 Mac 1999 hingga 28 Februari lalu.
Ketika pendakwa bertanya seorang pegawai KDN, Abdul Ghafar Dolah, tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh akhbar itu, hakim Khadijah Idris mengganggap keterangan itu "tidak relevan" selepas menerima bantahan Zamani.
Jawapan Abdul Ghafar itu berkisar kejadian selepas tarikh rencana itu diterbitkan.
Saksi keempat, pegawai penyiasat kes itu, ASP Goh Lee Shen, memberikan keterangan tentang tatacara tangkapan dan siasatan.
Sementara dua lagi saksi pendakwa, pengarang bahagian Bahasa Inggeris akhbar itu, Abdul Rahman Koya dan anggota Jawatankuasa Petugas Menangani Fitnah Majlis Tertinggi Umno, Mohd Tajudin bin Tambi Abdul Wahid tidak dapat hadir hari ini.
Mahkamah diberitahu Abdul Rahman berada di luar negara selama enam bulan. Bagaimanapun, hakim menjelaskan waran tangkap tidak boleh dikeluarkan terhadapnya kerana sapina tidak diserahkan secara langsung.
Pengarang tabloid PAS itu diwakili oleh Zamani Ibrahim dan Hasnan Hamzah.
Isnin lalu, pemilik syarikat cetak Harakah, Chea Lim Thye mengaku bersalah menerbitkan bahan cetak berunsur hasutan dan dikenakan denda RM4,000.
Jika Zulkifli didapati bersalah, mahkamah boleh menggantungkan penerbitan Harakah selama setahun dan beliau tidak dibenarkan memegang jawatan yang sama dalam tempoh tersebut.
Perbicaraan bersambung esok.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.