Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat menyifatkan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang beliau dirawat di hospital selepas diserang sakit jantung telah mencermin bahawa pembangkang sebenarnya berfungsi sebagai penasihat yang bekerjasama dengan kerajaan.

Bercakap dalam sidang media pertamanya selepas di masukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian, dekat Kota Baru hari ini, Nik Aziz berkata, ia juga memberi ingatan kepada rakyat bahawa pembangkang bukan musuh (kerajaan).

Nik Aziz, yang memakai baju pesakit HUSM berwarna biru dan berketayap putih duduk di katilnya sambil dikerumuni wartawan dan jurugambar, kelihatan ceria apabila ditanya mengenai lawatan Nik Adli yang diberi pelepasan khas oleh Abdullah untuk melawat bapanya itu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan penghargaannya kepada pemimpin-pemimpin Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Razak Abdul Najib yang turut yang mengambil berat mengenai keadaan kesihatannya.

Malah, katanya, kesudian pemimpin Umno, khususnya Najib dapat menyelesaikan banyak kesilapan dan salah faham politik.

"Ini juga memberi ingatan pada rakyat bahawa pembangkang bukan musuh, tetapi pembangkang sebenarnya berfungsi sebagai penasihat yang bekerjasama dengan kerajaan," katanya.

Kritikal

Nik Aziz juga secara peribadi menyampaikan penghargaan kepada Abdullah kerana membenarkan anak keempatnya Nik Adli ( gambar ), yang masih ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA), melawatnya semasa beliau kritikal selepas serangan jantung Khamis lalu.

Malah, beliau menyifatkan kesanggupan Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri memberi lanjutan tempoh untuk membolehkan Nik Adli terus bersamanya, sebagai 'sesuatu yang mengejutkan'.

"Terima kasih banyak-banyak. Saya sendiri tak tahu dia (Nik Adli) boleh balik. Tengok-tengok dia sudah ada di sini. Bukan sekali saya jumpa dia tetapi tiga kali (sehingga Sabtu). Seronok saya.

"Terima kasih juga kepada Perdana Menteri yang turut mendoakan saya. Mudah-mudahan keterbukaan beliau akan berterusan selama hayat beliau memegang negeri (memerintah negara)," katanya.

Nik Aziz masih menerima rawatan hospital berkenaan dan dijangka menerima rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) Rabu ini.

Nik Aziz menyifatkan pertemuannya dengan Nik Adli, 37, semasa keadaannya masih agak kritikal, sebagai ubat yang membantu menyegarkan beliau.

Penghargaan

"Saya tak tahu bila dia balik tetapi bila saya tengok dia tu, bertambah segar saya. Betullah, menziarahi orang sakit dari segi agama ni memang sunat, pahala pun dapat, orang sakit pun terasa seperti ubat...Mudah-mudahan hubungan anak dengan bapa ini berterusan, Insya-Allah," katanya.

Dalam sidang media yang sama, Nik Aziz turut menyampaikan penghargaan beliau kepada pakar jantung Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Pakar Perdana Kota Baru tempat beliau mula-mula menerima rawatan, dan pakar jantung HUSM sendiri, tempat beliau dirawat kini dan seluruh kakitangannya.

Selain itu, Nik Aziz turut berterima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesihatan beliau.

"Terutama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang bersusah-payah datang berjumpa saya dengan keluarga.

"Insya-Allah, kedatangan Timbalan Perdana Menteri melawat saya dan isteri (Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak yang kebetulan juga uzur), dapat menyelesaikan banyak kesilapan dan salah faham politik," tambahnya.

Ditanya mengenai kesediaannya menjalani satu lagi rawatan koronari angioplasti Khamis ini di IJN bagi merawat masalah penyempitan saluran darah di bahagian koronari kirinya, Nik Aziz berkata beliau akan mematuhi keputusan doktor.

"Saya dimaklumkan akan dibawa ke Kuala Lumpur, saya serahlah kepada doktor. Saya sendiri sebenarnya tidak terasa sakit, cuma saya terasa letih kerana lama sangat tidur," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kesihatan HUSM Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamad berkata Nik Aziz kini sudah boleh menjalani senaman ringan serta berjalan di sekeliling katilnya.

"Perkembangan seterusnya amat baik dan kita amat berpuas hati dengan tahap pemulihan Menteri Besar. Bagi orang yang dah berumur seperti beliau, proses pemulihan ini boleh dikatakan agak cepat. Biasanya pesakit lain akan ambil masa lama sikit. Selain itu, selera makannya juga sudah kembali seperti biasa," katanya.