Pelajar ditahan di bawah Ordinan Darurat
Seorang pelajar lelaki telah ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 selama dua tahun kerana terlibat dalam kumpulan gangsterism.
"Pelajar ini kita tahan pada bulan Disember 2003 dan penahanannya dibuat bagi membolehkan dia diasingkan dan dihalang daripada bercampur dengan pelajar-pelajar lain," katanya Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.
Menurut Bernama , beliau berkata, semasa dalam tempoh tahanan tersebut, pelajar berkenaan tetap diberikan pendidikan dan dibenarkan mengambil peperiksaan seperti pelajar lain tetapi terhad di dalam tempat tahanannya.
"Kita jarang gunakan undang-undang ini kepada pelajar, tetapi ada di antara pelajar yang terlibat dalam jenayah ini 'sangat nakal', terutama yang melibatkan peras ugut dan gangsterism.
"Perkara ini kita pandang serius. Mereka ini akan minta wang dari pelajar lain dan ada juga yang memaksa pelajar masuk ke dalam kumpulan haram mereka," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Selain gangsterism, Abu Seman berkata ordinan tersebut boleh digunakan terhadap pelajar yang terlibat dalam jenayah peras ugut.
Katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 407 pelajar didapati terlibat dalam jenayah gangsterism dan 23 pelajar lagi terbabit dalam kes jenayah peras ugut antara tahun 2000 dan 2003.
Kes rogol
Menurutnya lagi, antara langkah yang diambil bagi menangani pelajar yang terlibat dalam kes gangsterism dan peras ugut ialah memberikan kaunseling, mengadakan perbincangan dengan ibu bapa pelajar terbabit dan menyenaraikan sekolah yang mempunyai pelajar yang terbabit dalam jenayah itu.
Terdahulu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, Abu Seman berkata secara keseluruhan, kes-kes jenayah di seluruh negara yang membabitkan pelajar adalah tidak serius.
"Bagi tahun 2000 sebanyak 1,502 kes dilaporkan, tahun 2001 sejumlah 1,324 kes, tahun 2002 sebanyak 1,136 kes manakala tahun lalu lalu sebanyak 1,429 kes dilaporkan," katanya menjawab soalan Senator M Krishnan.
Abu Seman berkata jenayah bunuh, rompak, rogol, pecah rumah, mencuri, menggunakan kekerasan, cabul dan menerima harta curi adalah antara jenayah yang dilakukan oleh pelajar terbabit sepanjang tempoh itu.
Menjawab soalan tambahan Senator Lee Sing Chooi yang ingin tahu lingkungan umur pelajar yang terlibat dengan jenayah, Abu Seman berkata daripada statistik PDRM, pelajar dalam lingkungan umur antara 13 dan 18 tahun adalah mereka yang banyak terlibat dalam kes-kes jenayah.
Pada tahun 2000, sebanyak 1,152 kes pelajar dalam lingkungan umur 13 hingga 15 tahun dilaporkan terbabit dengan kes-kes jenayah manakala bagi pelajar berumur antara 16 dan 18 tahun, ia mencatatkan 1,398 kes.
Tahun lepas pula, bagi pelajar berumur antara 13 dan 15 tahun, jumlah kesnya turun kepada 1,058 kes, manakala bagi kes-kes jenayah yang membabitkan pelajar berumur antara 16 dan 18 tahun, jumlahnya juga turun menjadi 1,126 kes.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.