Pemimpin bahagian dan cawangan mula banjiri KL
Para pemimpin Umno peringkat cawangan dan bahagian kini mula membanjiri ibu kota untuk tujuan berkempen menjelang pemilihan parti September ini.
Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menasihatkan mereka supaya pulang ke kawasan masing-masing bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Ketika menasihatkan demikian, Muhyiddin berkata: "Kalau datang awal, belanja besar...jangan menyusahkan diri sendiri."
"Kita pun banyak kerja untuk parti, jadi lebih baik tumpukan pada tugas dahulu dan bila sampai waktu perhimpunan, datanglah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di Kuala Lumpur hari ini.
Mengenai keputusan Majlis Tertinggi yang tidak melarang para calon membuat kenyataan media menjelang pemilihan September ini, Muhyiddin berkata mereka yang terbabit harus menghargai keputusan tersebut.
Majlis Tertinggi Umno memutuskan dalam mesyuaratnya malam tadi untuk membenarkan calon yang bertanding pada pemilihan Umno September ini membuat kenyataan media dengan syarat ia tidak memfitnah atau mencaci calon lain.
Berbudi bahasa
"Proses pemilihan mesti ada kempen, kalau tiada kempen, luar biasalah tu...tapi di atas cara budi bahasa, gunalah bahasa yang baik dengan tidak buat fitnah dan tohmahan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menurutnya, media haruslah bijak memainkan peranannya agar laporan yang disiarkan tidak membangkitkan keadaan tidak diingini.
"Kita ada pertimbangan, selagi tiada apa-apa yang dianggap tidak menyentuh peribadi pihak lain, itu dibenarkan. Jadi, berkempenlah secara berhemah.
"Ini kelonggaran yang harus kita hargai tetapi ahli mesti mengawalnya sendiri kerana kalau nak serah kepada jawatankuasa pemantau dan disiplin semata-mata, mereka tak mampu buat begitu," kata Muhyiddin.
Seramai lapan orang mendapat pengundian yang mencukupi untuk melayakkan mereka bertanding bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan parti kali ini.
Mereka ialah Muhyiddin, Datuk Mohd Ali Rustam, Tan Sri Muhamad Muhd Taib, Datuk Mustapa Mohamed, Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Shahrir Samad dan Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Perebutan
Manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak masing-masing memenangi jawatan presiden dan timbalan presiden tanpa bertanding.
Datuk Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Rafidah Aziz masing-masing memenangi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita tanpa bertanding. Begitu juga Khairy Jamaluddin bagi jawatan naib Ketua Pemuda dan Datuk Shahrizat Jalil bagi naib Ketua Wanita.
Bagaimanapun bertandingan sengit dijangka bagi jawatan ketua Puteri Umno yang dikosongkan oleh Datuk Azalina Othman kerana faktor umur.
Pertandingan bagi jawatan tersebut akan membabit pertandingan satu lawan satu di antara Naib Ketua Puteri Umno sekarang, Noraini Ahmad dan Ketua Puteri Umno Kedah, Suraya Yaacob.
Manakala bagi jawatan naib Ketua Puteri Umno pula akan menyaksikan pertandingan empat penjuru yang membabitkan Rosnah Abdul Rahman, Bibi Sharliza Khalid, Azalinda Mohd Rashad dan Shahaniza Shamsuddin.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now