Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok akan mendengar satu permohonan untuk menghalang Majlis Peguam daripada meneruskan mesyuarat tergempar Jumaat ini yang bertujuan mendesak pergantungan jawatan dan penubuhan satu suruhanjaya siasatan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin.

Seorang peguam K. Raja Segaran hari ini menfailkan permohonan di mahkamah tinggi yang sama untuk mengisytiharkan mesyuarat tersebut sebagai "salah, haram, batal serta tidak sah" dan juga memohon perintah sementara supaya ia tidak diteruskan.

Permohonan itu akan didengar di depan seorang hakim, R. K. Nathan.

Tahun lepas, hakim ini pernah memberikan perintah menghalang Majlis Peguam mengadakan satu mesyuarat selepas permohonan difailkan oleh Rajasegaran.

Badan peguam itu memanggil mesyuarat tergempar itu ekoran kontroversi lawatan Eusoff dengan seorang peguam terkenal, V. K. Lingam di New Zealand pada Disember 1994.

Isu itu berbangkit semula bulan lalu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim, berkata lawatan itu "bukannya satu perbuatan yang wajar" dalam satu wawancara dengan sebuah stesen radio Australia.

Eusoff bagaimanapun, mendakwa gambar-gambar lawatannya di New Zealand itu yang tersebar dalam internet diambil apabila mereka bertemu "secara kebetulan."

[#1] Malaysiakini[/#]

minggu lepas memetik satu [#2] laporan[/#] agensi penyiasatan persendirian, Bowman Investigations, yang membayangkan percutian itu "dirancang" oleh Eusoff dan Lingam.

Raja Segaran pernah menulis surat dan meminta Majlis Peguam membatalkan hasratnya itu dengan alasan mesyuarat tersebut dan resolusi yang akan dicadangkan itu ultra-vires dengan Akta Profesyen Guaman dan beberapa perkara yang akan dibincangkan itu bercanggah dengan Akta Hasutan.