Beberapa pegawai penguatkuasa Imigresen yang menyerbu sebuah ladang untuk menahan pendatang tanpa izin, bukan sahaja tidak menemui lokasi mereka, malah tidak dapat keluar dari tempat persembunyian.

Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Mohd Nasri Ishak berkata, kejadian pukau tersebut yang berlaku baru-baru ini, merupakan antara taktik baru yang digunakan oleh pendatang tanpa izin di negeri ini untuk mengelak ditangkap.

Akhirnya, kata beliau, pegawai-pegawai berkenaan terpaksa sembahyang hajat untuk dapat keluar dari kawasan ladang berkenaan,

Mohd Nasri memberitahu Bernama , pendatang tanpa izin itu juga tidak lagi tidur di rumah kongsi mereka.

Sebaliknya, kata beliau, mereka tidur di khemah atau pondok bergerak supaya mudah melarikan diri apabila diserbu pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati ada penduduk tempatan yang membenarkan pendatang tanpa izin menyewa bilik, kononnya kerana bersimpati dengan nasib mereka.

"Ada pendatang tanpa izin ini menyimpan senjata di bawah tempat tidur mereka. Sebab itu, kita ambil langkah berjaga-jaga semasa membuat pemeriksaan di rumah-rumah kongsi, bagi mengelak kejadian yang tidak diingini," katanya.

Menurut Mohd Nasri lagi, anggota penguatkuasa Imigresen terpaksa menyamar dan tidak lagi menggunakan kereta rasmi semasa membuat pemeriksaan bagi mengelirukan para pendatang itu.

Mohd Nasri berkata sehingga hari ini, seramai 83 pendatang tanpa izin ditahan dalam beberapa operasi di negeri ini sepanjang bulan ini.

Khidmat bomoh

Sementara itu, polis mungkin menggunakan khidmat bomoh bagi mengesan pisau yang digunakan dalam pembunuhan bakal graduan Sarjana Biologi Genetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Norzi Ayu Md Noor di Bangi Isnin lalu.

Dalam laporannya hari ini, Berita Harian yang memetik sumber-sumber polis berkata, khidmat bomoh terpaksa digunakan kerana pisau itu adalah barang bukti kes paling penting.

Pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek itu, dikatakan dicampak ke dalam Sungai Langat dan Unit Menyelam Bomba dan Penyelamat, masih gagal menemuinya.

Norzu Ayu, 27 ditikam dua kali di perut, dipercayai oleh bekas teman lelakinya berusia 23 tahun di rumah sewa mangsa di Flet Sri Tanjung, Bandar Baru Bangi kira-kira jam 3 petang Isnin lalu.

Suspek yang juga bekas pelajar UKM ditahan ketika datang melawat mangsa di hospital kira-kira jam 8.30 malam Isnin lalu.