PUK: Ada kumpulan diperalat untuk mempersoal hukum Islam
Persatuan Ulama Kedah (PUK) mendakwa sebuah kumpulan anti-Hadis di Pulau Pinang sedang giat menjalankan dakyah untuk mengeliru dan menyesatkan umat Islam dengan menyebarkan buku-buku yang dituliskan secara biadab untuk merosakkan kesucian Islam.
Persatuan Ulama Kedah (PUK) mendakwa sebuah kumpulan anti-Hadis di Pulau Pinang sedang giat menjalankan dakyah untuk mengeliru dan menyesatkan umat Islam dengan menyebarkan buku-buku yang dituliskan secara biadab untuk merosakkan kesucian Islam.
Menurut Yang Dipertuanya, Sheikh Abu Bakar Awang, dua daripada buku-buku tersebut bertajuk "Dilema Hadith" dan "Hudud" yang diedarkan secara percuma kepada orang awam termasuk pelajar.
"Buku-buku ini juga diletakkan di tempat-tempat awam termasuk perhentian rehat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, PUK juga mendapati ada majalah yang diberi permit penerbitan yang sah, sedang cuba membawa topik-topik perbincangan berkaitan hukum hakam dan syariat Islam dengan cara berniat jahat untuk mengelirukan umat Islam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Agama Islam negeri supaya memperluas dan meningkatkan kemampuan Unit Pemantauan Operasi dan Penguatkuasaan untuk bertindak menyekat dakyah-dakyah ini.
Katanya, ini termasuklah saranan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria supaya KDN memantau dan mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan Islam dan bukan Islam yang cuba mempersoalkan hukum hakam untuk memesongkan akidah umat Islam di negara ini.
Keharmonian negara
Menurutnya, fenomena tersebut sedang berkembang dalam arus perdana terutama melalui saluran media, seperti majalah dan buku-buku, yang dijual atau diedarkan secara terbuka kepada masyarakat, termasuk oleh kumpulan anti-hadis yang beroperasi di Pulau Pinang itu.
Manakala Jabatan Agama Islam pula, katanya, seharusnya juga perlu lebih bertindak tegas terhadap kumpulan-kumpulan ini kerana mereka secara jelas telah menghina dan mencerca Islam melalui pelbagai saluran.
"Perkara ini secara jelas bertentangan dengan undang-undang sama ada di bawah Kanun Keseksaan kerana cuba menjejaskan keharmonian negara dan juga di bawah Enakmen/Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
"PUK juga menyarankan agar masyarakat lebih responsif dan peka mengenai hal ini dan jangan membiarkan kumpulan dan individu ini meneruskan dakyah untuk mengeliru umat Islam dan menjejaskan perpaduan kaum di negara ini," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti kumpulan-kumpulan tersebut supaya mereka dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

