Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menahan sembilan individu di Tuaran hari ini kerana dipercayai mengedar risalah menghasut orang ramai mengeluarkan Sabah dari Malaysia.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian dalam akaun Twitter beliau malam tadi.
"Syabas @PDRMsia Sabah tangkap 9 org di Tuaran tadi yg sdg edar risalah m'hasut org ramai utk keluar kan Sabah dr Malaysia. WELLDONE Boys," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu apabila dihubungi Bernama malam tadi.
Sementara itu, polis Sabah sudah merakamkan percakapan sembilan suspek termasuk tiga wanita, berhubung pengedaran risalah Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) di Tuaran, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata selain percakapan sembilan suspek berumur 24 hingga 52 tahun itu, pihaknya turut merekodkan keterangan 14 orang saksi.
"Tangkapan sembilan suspek dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan. Kesemua sembilan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 5 petang semalam selepas rakaman percakapan diambil," katanya kepada Bernama hari ini.
Jalaluddin berkata siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Mesin Cetak dan siasatan kes itu akan disiapkan secepat mungkin untuk diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.
Beliau berkata sembilan suspek itu ditahan selepas disyaki mengedarkan risalah berkaitan SSKM di beberapa lokasi di tamu (pasar minggu) Tuaran antara pukul 9.50 pagi dan 10.42 pagi semalam.
Katanya berikutan tangkapan itu, sebanyak 113 risalah pelbagai tajuk dan beberapa buah buku turut dirampas daripada suspek untuk membantu siasatan.
- Bernama
