Tiga wakil rakyat PAS hari ini menggesa pengharaman jualan arak di kedai serbaneka di Melaka diperluas ke seluruh negara.

Nasrudin Hasan (Temerloh), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas) dan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) menyatakan perkara itu dalam kenyataan bersama mereka hari ini.

Mereka juga menegaskan bahawa dasar itu pernah dilaksanakan oleh bekas exco PAS di Selangor Datuk Dr Hasan Ali pada 2009 berdasarkan peruntukan dalam enakmen jenayah negeri.

"Ia (penjualan arak) termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah dan Rasulullah SAW dalam urusan pemprosesan serta penyediaan arak.

"Kami menggesa agar polisi kerajaan negeri berkaitan arak dapat diselaraskan di seluruh negara.

“Malah, setiap usaha untuk membebaskan umat Islam daripada industri arak wajib disokong bersama," kata mereka.

Hasan yang pernah menyandang jawatan naib presiden PAS dipecat  pada 2012 ekoran tindakannya yang merugikan parti.

Kerajaan Melaka dilapor akan mengharamkan penjualan minuman keras di kedai serbaneka 24 jam 7-Eleven di kawasan majoriti Melayu dan Islam.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dalam kenyataan berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat exco.

Bagaimanapun komposisi kaum bakal dipertimbangkan sebelum pengharaman tersebut dilakukan.