Sebuah rencana bertajuk "[#1] Penyakit KeADILan, bolehkah PRM ubati?[/#] " dalam malaysiakini (16 Jun) oleh Fathi Aris Omar diterbitkan pada hari Parti KeADILan Nasional mengadakan mesyuarat agung kedua.

"Sebuah parti yang muncul dari tepi jalan raya akhirnya bersidang hari ini," tulisnya.

Rasanya tentu tidak hina apabila sebuah parti politik itu muncul dari tepi jalan. Itu menandakan perjuangannya muncul dari bawah, dari kalangan rakyat jelata yang mahukan perubahan. Keadaan ini tentu sekali berbeza dengan Umno yang lahir pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru dan dipimpin oleh golongan bangsawan.

Tulisan Fathi Aris ini perlu difahami dengan sangka baik. Penulis itu dikenali sebagai pendukung gerakan reformasi. Tentunya ada sesuatu yang hendak beliau sampaikan melalui tulisannya itu.

Walaupun, jodol rencana itu ialah "Penyakit keADILan, bolehkah PRM ubati?" tetapi hampir tidak ada ulasan secara objektif tentang gagasan percantuman PRM dengan keADILan. Melainkan di akhir tulisan itu disebut, "mampukah doktor ini mengubati keADILan?"

Doktor yang dimaksudkan oleh penulis itu mungkin Dr Syed Husin Ali, Presiden Parti Rakyat Malaysia.

Bagaimanapun tulisan ini banyak sekali mengkritik. Penulisnya mengkritik keADILan, PAS, Barisan Alternatif termasuklah DAP dan PRM, Gerak, Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL), Abim, JIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan beberapa pihak lain.

Memang ada baiknya parti-parti yang dipanggil pembangkang itu dikritik, terutama dari kalangan kawan-kawan yang sayang padanya.

Kita perlu menganggap kritikan yang diutarakan oleh Fathi Aris ini sebagai teguran daripada sahabat kita sendiri. Semua pihak dikritik, namun Fathi Aris agak simpati dengan PRM, terutama apabila beliau menyebut tentang PRM "dimelukutkan di tepi gantang".

Selain itu, Fathi Aris seakan bercakap bagi pihak resah gelisah dan rasa tidak puas hati golongan reformis jalanan yang menurutnya telah dipinggirkan.

KeADILan paling teruk dikritik oleh Fathi Aris. Pemimpin-pemimpin tertentu dalam keADILan didakwa telah menyebabkan golongan reformis jalanan dipinggirkan. PAS juga dikritik dengan tajam sekali.

Fathi Aris berkata: "Bermula daripada Gerak sehingga Barisan Alternatif, PAS mengaut segala-galanya atas nama reformasi, Anwar dan lakonan keadilan."

Barisan Alternatif pula diperlekeh oleh Fathi Aris secara sinis. Katanya: "Anak-anak muda yang bertungkus-lumus berada di pinggir jalan - disepak, diterajang, dibelasah - hanya menjadi satu lagi peluru pembangkang menentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri."

Serangan Fathi Aris terhadap KeADILan dan BA lebih jelas apabila berkata: "Sebenarnya ada pertarungan yang halus dan senyap antara reformis jalanan dengan KeADILan dan BA. Mereka yang selangkah lagi mencapai kejayaan tentunya tidak mahu balik ke pangkal jalan untuk memulakan perjuangan seperti anak-anak muda jalanan."

KeADILan memang didukung sebahagian besarnya oleh golongan reformis yang terlibat sebelum ini dalam beberapa siri demonstrasi jalanan. Penulisnya agak bersimpati dengan nasib golongan ini yang dikatakan terpinggir sejak tertubuhnya parti itu.

Sedikit pandangan berhubung perkara ini. Memang ada perbezaannya bergerak dalam sebuah organisasi politik dengan bergerak tanpa kawalan bersama gerakan reformasi jalanan. Sebuah parti politik mempunyai struktur kepimpinan dan disiplin. Tindakan spontan dan sewenang-wenangnya tidak digalakkan.

Sebabnya, pihak kepimpinan harus memikul tangggungjawabnya. Berbeza dengan gerakan di jalanan, tindakan spontan tanpa kawalan sesiapa adalah ciri utama mereka.

Apabila kumpulan ini berada dalam sebuah parti politik, misalnya KeADILan, tentu sahaja mereka akan berasa terkongkong dan tidak bebas seperti dahulu, iaitu semasa sebelum parti itu wujud.

Ini kita dapat mengerti dan simpati. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar jika bergerak dalam sebuah organisasi politik. Sebab itu ramai orang tidak suka terlibat dalam politik kepartian yang dilihat mengekang kebebasan.

Lebih-lebih lagi kebebasan jiwa anak muda yang mahu melakukan reformasi. Kadang-kadang apabila sesebuah parti politik itu terlalu besar, ia akan dihambat oleh birokrasinya yang lembab.

Tetapi, tanpa ada organisasi politik untuk memimpin perjuangan, reformasi jalanan boleh membawa kepada wujudnya gerakan anarkis yang menentang semua bentuk sistem yang dianggap membatasi kebebasan mereka. Kalau terlalu mementingkan organisasi, birokrasi organisasi itu pula mungkin akan menghambat tindakan perjuangan.

Jadi satu keseimbangan perlu dicari untuk membawa perjuangan maju ke depan iaitu antara organisasi, kepimpinan, daya usaha yang kreatif, kespontanan dan penanggungjawaban. Dalam hal ini, KeADILan Nasional yang masih baru wajar sekali diberi peluang belajar.

Serangan dan kritikan sewenang-wenang penulisnya terhadap PAS rasanya tidak adil. Tidak adil bagi Fathi Aris membuat kesimpulan bahawa: "Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) bukanlah perjuangan keadilan untuk rakyat. Ia hanya pentas untuk PAS mengesahkan ketuanan politik kepembangkangannya, meminggirkan Gagasan Rakyat (satu lagi kumpulan), mengutip derma, dan menaikkan imejnya. Tidak lebih daripada itu."

Sebagai catatan sejarah, Gerak ditubuhkan sebaik sahaja bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditahan di bawah ISA pada 20 September 1998. Gerak ditubuhkan atas inisiatif PAS. Pemuda PAS khususnya memainkan peranan yang agak besar dalam Gerak, terutama kempen menentang ISA

Gerak dianggotai oleh semua parti pembangkang yang ada dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta individu terkemuka. Ia memperjuangkan keadilan. Isu utamanya ialah menentang ISA yang zalim itu. Selain Anwar, ramai penyokong Anwar dan pemimpin gerakan reformasi ditahan di bawah ISA waktu itu, malah sebelum itu lagi.

Ceramah-ceramah dan kempen menentang ISA oleh Gerak telah mendatangkan kesan besar. Hampir semua tahanan ISA, kecuali Anwar, telah dibebaskan sebelum atau pada tempoh siasatan 60 hari.

Malah Gerak dan Gagasan Rakyat (yang ditubuhkan atas daya usaha PRM) merupakan asas kepada pembentukan Barisan Alternatif, kemudiannya.

Bagaimanapun, kita menghormati resah gelisah dan rasa tidak puas hati golongan muda, golongan reformis jalanan ini. Kita perlu memahami tuntutan mereka. Gerakan reformasi jalanan ini penting bagi perjuangan kita untuk menumbangkan pemerintahan Mahathir dan BN yang zalim dan tidak demokratik ini.

Sebagai perbandingan, tanpa golongan muda dan reformasi jalanan yang dipelopori oleh para pelajar di Indonesia, Presiden Suharto mungkin sukar ditumbangkan. Maka begitu juga di Malaysia. Jadi, anggaplah kritikan yang dipaparkan dalam tulisan Fathi Aris ini sebagai satu teguran membina.

Kita harus akur bahawa para reformis inilah yang berdepan dengan polis apabila menentang kezaliman ke atas Anwar, menentang penekanan ke atas penerbitan akhbar PAS Harakah, menentang keganasan polis dan sebagainya. Golongan merekalah yang dipukul, dibelasah, ditembak dengan gas pemedih mata dan air kimia. Golongan mereka jugalah yang ditahan dan ditangkap, lalu dikurung di lokap, diikat jamin beribu-ribu ringgit dan kemudiannya dibicarakan.

Mereka juga dihukum, didenda, dikenakan tindakan tatatertib dan ada di antaranya dibuang dari universiti, atau hilang pekerjaan tetap. Tetapi adakah kita semua - sama ada dalam PAS, KeADILan, PRM, DAP dan pelbagai NGO prihatin terhadap nasib mereka?

Apakah kita telah bersikap adil dan mendengar keluh kesah mereka? Apakah suara mereka atau wakil mereka mendapat tempat dalam organisasi kepartian dalam parti-parti BA?

Seterusnya apabila mereka ditangkap, adakah kita pergi menjamin mereka atau sekurang-kurangnya menjenguk mereka? Apabila mereka dikurung di lokap, adakah kita menjenguk anak isteri atau ibu bapa mereka?

Apabila mereka didenda, adakah kita pergi mengutip derma untuk membebaskan mereka?

Kita semua wajib menjawab soalan ini semua dengan jujur.

Tetapi, dalam pada itu, kita juga perlu mengingatkan anak-anak muda ini bahawa perjuangan untuk reformasi adalah satu perjuangan yang panjang sebenarnya. Jadi, perjuangan politik tanpa organisasi politik agak susah. Sebab, tidak ada kawalan dan disiplin serta hala tuju yang pasti.

Kita bukan sahaja perlu menuntut kebebasan dan hak, tetapi kita juga perlu memikul tugas dan tanggungjawab. Kita mahukan perubahan, tetapi kita menolak rusuhan, keonaran, kehancuran dan kerosakan yang sia-sia. Keganasan perlu ditentang. Kezaliman perlu dilawan.

Tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu berlaku kemunculan satu gerakan anarkis yang tidak perlu, terutama kita bimbang apabila Fathi Aris berkata: "... anak muda jalanan selalunya mereka yang benar-benar jujur, berjiwa reformasi tulen dan antisistem."

Kita amat menghormati sifat jujur dan berjiwa reformasi tulen itu, tetapi kita inginkan penjelasan apa maksud "anti-sistem" itu? Apakah kita mahu membina Malaysia tanpa satu sistem pun? Tentulah Fathi Aris tidak menganjurkan perjuangan ala anarkis yang anti segala sistem itu!

Namun begitu, kita tetap bersangka baik terhadap anak muda yang bernama Fathi Aris dan golongan seangkatannya. Mungkin "antisistem" itu beliau maksudkan bahawa gerakan reformis jalanan menentang secara total akan sistem busuk yang ada sekarang di Malaysia di bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad dan Barisan Nasional yang tidak adil, menindas rakyat, tidak demokratik dan korup.

Kalau itu maksudnya, kita pun bersetuju.

Jadi eloklah semua pendukung reformasi, demokrasi dan keadilan, tidak kira muda atau tua, tidak kira di tepi jalan raya atau di mana juga mengukuhkan solidariti sesama kita untuk menumbangkan sistem pemerintahan Mahathir dan BN yang buruk dan busuk itu.


MAT DESPATCH merupakan nama samaran bagi penulis dan pengirim risalah web harian, [#2] Kini[/#]

(tiada sebarang hubungan dengan malaysiakini.com). Ia mula disebarkan melalui emel, kumpulan diskusi maya dan laman web proreformasi beberapa bulan menjelang pilihan raya umum November tahun lepas.